Faktor musim perayaan dan cuaca panas menyebabkan peningkatan penggunaan tenaga elektrik.
Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, trend peningkatan berterusan ini dicatatkan dengan rekod tertinggi permintaan maksimum bekalan tenaga sebanyak 19,716 Megawatt (MW) dicatat pada 11 Mei lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, syarikat utiliti nasional itu berkata, penggunaan tenaga dikesan meningkat bagi peralatan seperti penyaman udara dan kipas.
TNB berkata, ia menyumbang kepada peningkatan penggunaan tenaga bagi isi rumah seterusnya turut meningkatkan pengiraan bil.
Justeru, syarikat itu menyarankan kepada masyarakat untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah bagi peralatan elektrik yang digunakan bagi mengelak pembaziran dan kos yang tinggi.
Kata TNB, penjimatan penggunaan tenaga juga boleh membantu usaha menangani perubahan iklim serta kelestarian alam sekitar melalui pengurangan pelepasan karbon yang dijana oleh sumber bahan api fosil. – JURNAL