Syarikat keselamatan siber terkemuka, CrowdStrike, menghadapi kritikan hebat di Kongres AS pada Selasa susulan peranannya dalam gangguan IT besar-besaran yang melanda dunia pada Julai lalu.
Adam Meyers, seorang eksekutif kanan syarikat itu, tampil memberi keterangan di hadapan jawatankuasa kongres untuk menjawab persoalan berhubung kemas kini perisian rosak yang menjejaskan jutaan komputer pada 19 Julai.
Insiden tersebut menyebabkan gangguan besar-besaran kepada pelbagai sektor termasuk perkhidmatan pembayaran, penerbangan tergendala, dan hospital terpaksa menunda operasi serta membatalkan temujanji.
Meyers memohon maaf atas kejadian itu dan menegaskan syarikatnya komited untuk memastikan perkara yang sama tidak akan berulang.
Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Negeri, Mark Green, menyatakan gangguan IT sebesar itu seperti sesuatu yang dilihat dalam filem dan menyamakannya dengan serangan siber oleh negara yang berniat jahat.
Beliau menambah bahawa “gangguan IT terbesar dalam sejarah” hanya berpunca daripada kesilapan.
Dalam sesi soal jawab yang berlangsung selama 90 minit, Meyers menjelaskan syarikat itu akan terus mengambil pengajaran daripada insiden tersebut dan bekerjasama dengan pihak kerajaan untuk mengelakkan insiden sama pada masa akan datang.
Selain persoalan teknikal tentang akses perisian kepada sistem operasi utama, isu kecerdasan buatan (AI) turut dibangkitkan, khususnya mengenai potensi AI menulis kod jahat.
Meyers berkata teknologi itu masih belum sampai ke tahap tersebut tetapi terus berkembang setiap hari.
Walaupun menghadapi kecaman, Meyers tidak berhadapan dengan tahap kritikan yang sama seperti eksekutif teknologi lain sebelum ini.
Ahli kongres lebih menekankan kerjasama untuk mengelakkan insiden sama berulang, namun CrowdStrike masih berdepan beberapa saman daripada individu, syarikat, dan penumpang Delta Airlines yang mengalami kerugian besar akibat gangguan tersebut.
Delta Airlines dilaporkan mengalami kerugian sebanyak $500 juta akibat pembatalan ribuan penerbangan.
CrowdStrike kini berusaha untuk memperbaiki reputasi dan memastikan insiden ini menjadi pengajaran besar bagi mereka serta industri keselamatan siber global. – JURNAL
Sumber: BBC