Cristiano Ronaldo mengesahkan akan kekal berada di Arab Saudi sekali gus menamatkan spekulasi untuk kembali ke Eropah.
Legenda Portugal itu meninggalkan Manchester United untuk menyertai Al-Nassr pada Januari namun sejak beberapa minggu ini, diselubungi ketidakpastian apabila terdapat spekulasi bakal kembali bersama kelab Real Madrid.
Namun dalam satu temu bual di Saudi, bintang itu menegaskan yang dia akan kekal di Timur Tengah.
“Saya gembira di sini, saya mahu terus berada di sini, saya akan terus di sini.
“Pada pandangan saya, sekiranya mereka terus berusaha seperti apa dimahukan, untuk lima tahun akan datang, saya fikir liga Saudi akan berada dalam kelompok lima teratas di dunia.
“Saya akan menjadi sebahagian ‘dunia’, budaya kamu, saya akan berada di sini, saya harap dapat membuat semua orang gembira menerusi permainan, prestasi saya, dan menjuarai sesuatu.
“Namun sekali lagi, terima kasih kerana menyambut baik kehadiran saya di sini dan saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam tempoh berada di sini,” katanya.
Pemain berusia 38 tahun itu juga berkongsi perbezaan ‘regim’ latihan yang dilakukannya sejak berpindah ke Saudi.
“Satu contoh, di Eropah kami berlatih lebih di waktu pagi tetapi di sini kami berlatih pada waktu petang dan pada Ramadan, kami berlatih jam 10 malam – jadi, ia sesuatu yang janggal tetapi saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada pengalaman dan memori.
“Saya suka detik sebegini kerana kamu belajar sesuatu daripadanya. Sukar tetapi ia sesuatu yang belum pernah saya alami.
“Pengalaman saya setakat ini adalah penyokong Saudi sangat meminati bola sepak dan ia sesuatu yang bagus dan saya sangat gembira sehingga sekarang,” ujarnya.
Ronaldo sudah meledak 14 gol daripada 16 perlawanan disertainya sejak menyertai Al-Nassr dan dia membantu kelab menamatkan kempen di tangga kedua Liga Profesional Saudi di belakang Al-Ittihad.
Mengulas mengenai penamat kempen sebagai naib juara, Ronaldo berkata: “Jangkaan saya sedikit berbeza, jujurnya saya jangkakan dapat menjuarai sesuatu pada tahun ini tetapi ia berlaku sebaliknya.
“Kadangkala kita perlu bersabar, konsisten dan kegigihan untuk mencapai sesuatu yang terbaik.” – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO