Trend semasa peningkatan kes COVID-19 sejak beberapa minggu ini telah mendorong minat belian pelabur terhadap kaunter sarung tangan getah dan penjagaan kesihatan.
Ini dapat disaksikan dengan kaunter Careplus Group Bhd dan Top Glove Corp Bhd menjadi antara kaunter paling aktif dalam dagangan hari ini.
Saham Careplus melonjak ketara daripada 30.5 sen pada 1 Disember lalu kepada paras tertinggi harian 51 sen pagi tadi, meningkat lebih 67 peratus, sebelum menurun kepada 46 sen pada penutupan dagangan tengah hari.
Begitu juga dengan saham Top Glove yang meningkat daripada 83 sen pada 1 Disember lalu kepada 93.5 sen setakat dagangan tengah hari tadi, peningkatan 12.65 peratus.
Pengeluar sarung tangan getah utama lain seperti Kossan Rubber Industries Bhd, Hartalega Holdings Bhd dan Supermax Corporation Bhd turut menyaksikan kenaikan dalam saham masing-masing sejak 1 Disember lalu.
Kossan dan Hartalega masing-masing naik daripada RM1.69 kepada RM1.84 dan dari RM2.46 kepada RM2.68 pada dagangan tengah hari tadi.
Begitu juga dengan Supermax yang menyaksikan sahamnya meningkat daripada 93.5 sen pada awal bulan ini kepada 98 sen setakat jam 12.30 tengah hari tadi.
Saham Iconic Worldwide Bhd, yang membuka kemudahan pengeluaran sarung tangan dan pelitup muka turut mengalami peningkatan daripada 10.5 sen pada 4 Disember lalu kepada 13.5 sen setakat jam 12.30 tengah hari tadi.
Trend serupa dapat dilihat pada sektor farmaseutikal dengan empat syarikat utama dengan nilai permodalan pasaran tertinggi iaitu Apex Healthcare Bhd, Duopharma Biotech Bhd, Kotra Industries Bhd dan Pharmaniaga Bhd.
Saham Pharmaniaga melonjak paling ketara dari 33 sen pada 1 Disember lalu kepada 42 sen setakat jam 12.30 tengah hari tadi, diikuti Duopharma daripada RM1.22 pada awal bulan ini, kepada RM1.27.
Saham Kotra pula naik 10 sen daripada RM4.70 kepada RM4.80 dan Apex paling rendah kenaikan iaitu dua sen daripada RM2.44 pada awal bulan ini kepada RM2.46 setakat dagangan tengah hari tadi.
Menurut RHB Research dalam nota penyelidikannya, bilangan kes COVID-19 di Malaysia dijangka akan menjadi semakin buruk seiring dengan musim perayaan akhir tahun dan cuti sekolah, seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Muhammad Radzi Abu Hassan.
Ia berkata, dengan peluang lebih tinggi untuk berjangkit memandangkan terdapat varian COVID-19 baharu di samping pemakaian pelitup muka yang kurang diamalkan di kawasan awam, kenaikan kes yang disahkan mungkin mendorong permintaan untuk ubat-ubatan batuk dan selesema, seperti yang terjadi pada separuh kedua 2022.
“Apex Healthcare adalah penerima manfaat utama daripada permintaan terpendam yang bakal menyusul untuk ubat-ubat batuk dan selsema tatkala melandanya penularan kes COVID-19; kesedaran kesihatan semakin meningkat dan trend masyarakat yang kian menua.
“Kami ramalkan tindakan syarikat itu dalam melaksanakan pendekatan yang menggunakan sebaik mungkin aspek kapasiti yang sedia ada dan permintaan bertahan pengguna untuk barangan farmaseutikal, akan memacu pertumbuhan perolehan.
“Harga saham syarikat ini dijangka berkembang lebih tinggi kerana adanya perancangan pengembangan organik berikutan kemudahan pengeluaran Cheng Industrial Estate yang beroperasi sepenuhnya di Melaka,” katanya.
Sementara itu, dalam nota penyelidikan berasingan RHB Research menaikkan harga sasaran baharu kepada RM5.60 untuk saham Kotra, dengan potensi kenaikan 16 peratus bersama kadar hasil dividen kira-kira lima peratus untuk tahun kewangan 2025.
“Kotra sepatutnya meraih manfaat besar daripada permintaan terpendam oleh pengguna untuk barangan neutraseutikal apabila kes COVID-19 kembali meningkat sejak kebelakangan ini.
“Barangan belian kaunter (OTC) keluarannya (sekitar 60 peratus daripada pendapatan kasar) menawarkan kebaikan imuniti kepada pengguna pada pelbagai peringkat umur,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN