Dua varian COVID-19 iaitu BA.5.2 dan BF.7 yang merangkumi kira-kira 80 peratus daripada varian yang menular di China ketika ini telah dikesan di Malaysia.
Varian BF.7, singkatan untuk BA.5.2.1.7, berasal daripada varian Omicron BA.5 dan pertama kali dikesan di dunia pada Julai 2022.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 31 Disember lepas, terdapat 4,148 kes di negara ini yang dijangkiti varian BA.5.2 dan tiga kes melibatkan jangkitan BF.7.
Bagaimanapun, beliau berkata, belum ada data dapat mengaitkan peningkatan bilangan kes kemudaratan atau kematian oleh kedua-dua varian.
“Kedua-dua varian ini tergolong sebagai subketurunan Omicron BA.5 dan belum digolongkan sebagai Ketururan Dalam Pemantauan (LUM) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Bagaimanapun, kedua-duanya dipercayai boleh menyebabkan jangkitan semula atau mempunyai kadar jangkitan yang lebih tinggi disebabkan bilangan kes yang tinggi di China,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, situasi itu akan disemak dari semasa ke semasa apabila terdapat sebarang perubahan ketara yang seterusnya memerlukan perubahan dalam strategi kesihatan awam.
Dr Noor Hisham juga berkata, hasil survelan genomik SARS-CoV-2 di Malaysia sepanjang Disember 2022 menunjukkan varian XBB mendominasi penularan COVID-19 di negara ini.
Varian XBB merangkumi 55.4 peratus daripada bilangan sampel yang berjaya menjalani penjujukan 17 genom diikuti varian BA.2.75 (20.8 peratus) dan BQ.1 (10.8 peratus).
“Ini menunjukkan bahawa varian XBB masih merupakan varian utama yang menular dalam kalangan penduduk Malaysia sejak bulan Oktober 2022.
“Kedua-dua varian XBB dan BA.2.75 adalah sejenis varian LUM WHO,” katanya. – JURNAL
Sumber: Bernama