Manusia sememangnya gemarkan pembaharuan terutama jika perkara itu melibatkan menu makanan.
Adakalanya variasi baharu ini bukan sahaja unik, tetapi boleh diterima oleh orang ramai asalkan ia selamat, bersih dan halal untuk dimakan oleh umat Islam.
Namun baru-baru ini, seorang individu telah bertanya kepada mantan Menteri Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri tentang hukum memakan cicak tokek selepas melihat satu iklan mengenai keropok kering haiwan tersebut tular di media sosial.
Perkara itu kemudian dijelaskan oleh beliau menerusi Maktabah al-Bakri yang menyatakan cicak di dalam bahasa Arab disebut sebagai Wazaghah serta dikategorikan haiwan yang melata.
Malah haiwan ini memiliki badan yang berbintik seperti penyakit kusta dan merupakan haiwan perosak.
Takrifan Wazaghah yang diberikan oleh bahasa Arab ini dilihat lebih kurang seperti tokek yang biasa dikenali pada ketika ini.
Menurut beliau, hukum memakan tokek ini terbahagi ke pada dua pendapat iaitu haram dan halal.
“Pendapat pertama, hukumnya adalah haram. Abu Ishaq al-Syirazi ada menyebutkan bahawa tidak halal untuk memakan hasyarat al-ardh dan salah satu contoh hasyarat yang disebutkan ialah cicak.
“Kemudian Imam al-Nawawi menjelaskan lagi dengan menyatakan bahawa mazhab Syafi’i, Abu Hanifah, Ahmad dan Daud berpendapat, haram untuk memakannya.
“Muhammad al-Amin al-Syanqiti menambah, termasuk juga dalam kalangan mereka yang mengharamkannya ialah Ibn Syihab, ‘Urwah dan ramai lagi,” jelasnya.
Menurut al-Maraghi perkataan “الْخَبَائِثَ” bermaksud diharamkan kepada mereka dari memakan makanan yang hati sesiapa pun akan berasa jijik untuk memakannya seperti bangkai dan darah yang mengalir.
“Imam al-Syafi’i dan para ashabnya pula menyatakan makna ayat ini ialah apa-apa yang dianggap jijik serta kotor oleh orang Arab.
Bagi pendapat kedua pula memaklumkan ia adalah halal untuk dimakan dan ia merupakan pendapat dari Imam Malik.
Muhammad al-Amin al-Syanqiti menambah, Imam Malik mensyaratkan bahawa ular boleh dimakan sekiranya selamat dari sebarang racun mahupun bisanya.
Di antara yang diriwayatkan turut memberi kelonggaran adalah al-Auza’i dan Ibn Abi Laila.
“Walau bagaimanapun, Ibn Qudamah menyatakan dalam kitabnya bahawa Imam Malik, Ibn Abi Laila dan al-Auza’i berpendapat diharuskan untuk memakan kesemua jenis hasyarat kecuali cicak. Malah Ibn ‘Abd al-Bar menyatakan para ulama telah bersepakat akan pengharaman cicak,” jelasnya.
Kata Dr Zulkifli, kesimpulannya berdasarkan kepada perbincangan dan perbahasan di atas, beliau berpendapat bahawa cicak termasuk dalam jenis haiwan yang haram untuk dimakan sebagaimana jumhur ulama kerana ia dianggap sebagai haiwan jijik, dan termasuk dalam jenis haiwan perosak yang diperintahkan untuk dibunuh. – JURNAL