China mengutuk negara yang mengenakan syarat ujian Covid-19 baharu ke atas penumpang warganegaranya yang melakukan perjalanan ke luar negara.
Menerusi laporan Berita Harian, Beijing memberi amaran bahawa pihaknya boleh mengambil tindak balas terhadap langkah sebegitu.
Antara negara yang mengenakan syarat berkenaan adalah Amerika Syarikat (AS), Kanada, Perancis dan Jepun yang mewajibkan pelancong dari China untuk mengemukakan ujian negatif COVID-19 sebelum ketibaan, susulan negara itu mengalami lonjakan kes.
Jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning, berkata tindakan negara berkenaan dibuat tanpa asas saintifik selain tidak boleh diterima.
“Sesetengah negara mengambil sekatan kemasukan yang menyasarkan hanya pengembara China.
“Ini tidak mempunyai asas saintifik dan beberapa amalan tidak boleh diterima,” tegasnya.
Situasi Covid-19 di China menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan selepas bertahun-tahun mengenakan sekatan ketat menerusi dasar sifar Covid-19 dan ia dilonggarkan secara tiba-tiba bulan lalu.
Pada Disember tahun lalu, Beijing mengumumkan pengembara ‘inbound’ tidak lagi perlu dikuarantin, menyebabkan ramai warganya bergegas merancang perjalanan ke luar negara setelah sekian lama menunggu peluang itu.
Negara yang mendakwa ketidaktelusan mengenai data jangkitan dari China dan kemunculan risiko varian baharu menjadi punca mengapa pengembara republik itu disekat.
China merekodkan hanya 22 kematian berkaitan COVID-19 sejak Disember, selepas dikatakan mengecilkan kriteria untuk mengkategorikan kematian itu. – JURNAL
Sumber: BH Online