TMC Life Sciences Bhd mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat, Wan Nadiah Wan Mohd Abdullah Yaakob, didapati bersalah atas lima pertuduhan salah laku selepas siasatan dalaman dijalankan.
“Menurut siasatan dalaman dan perbincangan panel siasatan domestik bebas, Puan Nadiah telah didapati bersalah atas kelima-lima pertuduhan salah laku,” jelas TMC dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu.
Siasatan ini dilakukan susulan kegagalan menyelesaikan isu melalui surat tunjuk sebab dan proses pengantaraan. Sepanjang siasatan, Wan Nadiah diberi peluang untuk membela diri di hadapan panel bebas.
Pertuduhan salah laku itu berkait dengan penamatan kontrak bersama Great Eastern Life Assurance (M) Bhd dan Allianz Life Insurance Malaysia Bhd, serta kontrak baharu dengan T-Systems Malaysia Sdn Bhd.
Lembaga pengarah TMC kini sedang mempertimbangkan tindakan tatatertib yang wajar terhadap Wan Nadiah. “Lembaga akan membuat pengumuman lanjut mengenai perkara ini pada masa yang sesuai,” tambah TMC.
Kes ini turut mendapat perhatian pemegang saham utama, Sasteria (M) Pte Ltd yang memiliki 70.13% kepentingan, dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (7.64%). Mereka sebelum ini telah menggesa mesyuarat agung luar biasa bagi memecat Wan Nadiah sebagai CEO dan pengarah kumpulan. – JURNAL
Sumber: Berita Harian