Brian Niccol, yang baru dilantik sebagai CEO Starbucks, menerima kritikan hebat selepas dilaporkan akan berulang alik hampir 1,000 batu (1,600 km) dari rumah keluarganya di Newport Beach, California, ke ibu pejabat Starbucks di Seattle menggunakan jet korporat syarikat.
Para pengkritik menzahirkan kekecewaan mereka terhadap percanggahan antara komitmen awam syarikat terhadap isu-isu hijau dan gaya hidup mewah para eksekutifnya.
Niccol dijangka memulakan tugas sebagai ketua rangkaian kedai kopi terbesar di dunia pada 9 September.
Seorang jurucakap Starbucks memberitahu BBC bahawa Niccol akan mempunyai pejabat utama di Seattle dan akan menghabiskan sebahagian besar masanya di sana apabila tidak mengunjungi rakan niaga dan pelanggan di seluruh dunia.
Menurut syarat tawaran kerja beliau, Niccol tidak diwajibkan berpindah ke ibu pejabat syarikat tetapi perlu berulang alik dari rumahnya ke ibu pejabat sesuai dengan keperluan tugasnya.
Dokumen yang didedahkan menunjukkan bahawa Niccol layak menggunakan pesawat syarikat untuk perjalanan berkaitan perniagaan dan perjalanan antara tempat tinggalnya dan ibu pejabat syarikat.
Starbucks mempunyai dasar kerja hibrid yang menghendaki pekerja hadir di pejabat sekurang-kurangnya tiga hari seminggu.
“Jadual Brian akan melebihi garis panduan kerja hibrid dan jangkaan tempat kerja yang kita tetapkan untuk semua pekerja,” kata jurucakap Starbucks.
Menurut Starbucks, Niccol dijangka akan membeli rumah di Seattle dan tidak akan berulang alik setiap hari.
Seorang penganalisis pelaburan di AJ Bell, menyatakan bahawa walaupun secara formal Niccol diberikan syarat kerja hibrid yang sama seperti pekerja lain, penggunaan jet peribadi untuk berulang alik sejauh 1,000 batu meninggalkan kesan yang kurang menyenangkan.
Beliau menyatakan bahawa penggunaan jet peribadi bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap alam sekitar tetapi juga menghantar mesej yang salah kepada pelanggan dan kakitangan.
Laporan yang diterbitkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2021 menunjukkan bahawa 1% daripada orang terkaya di dunia menghasilkan dua kali ganda jumlah pelepasan karbon berbanding 50% daripada golongan termiskin.
Bukan itu sahaja, sebilangan orang turut menumpukan perhatian kepada jumlah gaji yang bakal diterima Niccol dalam jawatan barunya.
Mengikut syarat tawarannya, gaji asas tahunan Niccol adalah $1.6 juta (RM7.44 juta). Di samping itu, beliau boleh menerima bonus berdasarkan prestasi sehingga $7.2 juta dan sehingga $23 juta setahun dalam bentuk saham Starbucks.
Starbucks mengumumkan bulan ini bahawa Niccol akan menggantikan Laxman Narasimhan sebagai ketua pegawai eksekutif syarikat itu.
Pengumuman ini dibuat ketika rangkaian kopi tersebut berusaha meningkatkan jualan yang merosot.
Niccol sebelum ini menerajui rangkaian makanan segera Mexico, Chipotle, sejak 2018, dan berjaya memulihkannya selepas krisis wabak keracunan makanan.
Semasa beliau memegang jawatan tersebut, jualan syarikat meningkat dua kali ganda dan sahamnya melonjak daripada kurang daripada $7 setiap satu kepada lebih daripada $50. – JURNAL
Sumber: BBC