Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) mengkaji cadangan merekrut penggodam komputer atau ‘hackers’ sebagai sebahagian dari ketumbukan baharu angkatan tentera masa hadapan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu dijangka bakal menjadi norma baharu angkatan tentera bagi membanteras ancaman bukan tradisional seperti serangan siber dan ancaman elektromagnetik pertahanan.
“Banyak penganalisis meramalkan yang pertempuran atau pertembungan kuasa akan lebih membabitkan kecanggihan teknologi seperti ‘unmanned drones’ dan aset yang dikawal secara digital.
“Semua ini menjadi asas untuk kita melihat secara serius keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI), big data dan pendigitalan di Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kick-Off Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahan (KPP), di Dewan Perkasa, Wisma Perwira di sini, hari ini.
Menurutnya, KPP itu memberi penekanan kepada pembangunan seiring perkembangan geopolitik bagi melahirkan angkatan yang bukan saja dilengkapi peralatan moden malah mahir mengendali serta menyelenggara aset berkenaan.
“Saya tekankan beberapa perkara (berkenaan) angkatan masa hadapan yang mana ia bukan saja merujuk kepada perolehan perkakasan baharu tetapi juga kepada anggota-anggota.
“Kemungkinan kita akan berhadapan dengan peperangan akan datang yang banyak menggunakan teknologi misalnya sekarang kita tengok serangan menggunakan dron,” katanya.
Menurutnya, kemajuan dan kepakaran teknologi khususnya bidang AI dan big data penting dalam membentuk angkatan masa hadapan yang berkredibiliti.
Katanya, menerusi KPP akan menekankan elemen 5T yang menggariskan lima langkah penting dalam usaha merevolusasikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan fungsi-fungsinya.
Mohamed Khaled berkata, lima elemen berkenaan ialah Threats Monitoring (pemantauan ancaman), Trend Analysis (analisis trend), Performance Tracking (jejakan prestasi), Transformation Driver (pemacu transformasi), dan Touch Point Platform.
“Angkatan masa hadapan perlu mengambil kira jenis-jenis peperangan yang mungkin berlaku. Hari ini kita lihat penggunaan meluas teknologi IT dan sebagainya (dalam peperangan)
“Ia akan menjadi trend yang dilaksanakan tentera di banyak tempat lain jadi kita tidak boleh ketinggalan dalam perkara ini,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO