Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan terdapat dua penumpang termasuk seorang juruterbang dalam pesawat yang terhempas di Kampung Tok Muda, Kapar di sini, tengah hari tadi.
Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud, bagaimanapun berkata, keadaan kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan setakat ini.
“CAAM mengesahkan sebuah pesawat ringan model BK 160 Gabriel dengan nombor pendaftaran I-POOC terhempas dekat Kapar, Selangor, hari ini.
“Pesawat berkenaan yang dikendalikan Air Adventure Flying Club berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang pada jam 1.28 tengah hari tadi bagi penerbangan rekreasi.
“Hubungan terakhir pesawat dengan pegawai kawalan trafik udara dilaporkan pada jam 1.35 tengah hari, namun tiada panggilan kecemasan diterima,” katanya dalam kenyataan, hari ini
Susulan itu, Norazman berkata, Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautikal Kuala Lumpur (KLARCC) di Pusat Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur (KLATCC) diaktifkan serta-merta untuk mengenal pasti lokasi pesawat.
“Siasatan lanjut akan dilaksanakan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN