Seorang buruh kampung dipenjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Gua Musang, Kelantan semalam akibat memukul kepala isterinya menggunakan topi keledar.
Hakim Tengku Shahrizam Tuan Lah menjatuhkan hukuman penjara itu terhadap Mohd Shamsuri Rokman Yusuf, 35, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tertuduh ditangkap pada 28 Januari lalu.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Shamsuri didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan terhadap isterinya yang sebaya dengannya dengan memukul wanita itu menggunakan topi keledar di bahagian kepala.
Kesalahan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai makan di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 2, di sini, pukul 5 petang pada 25 Januari lalu yang didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan kerana perlu bekerja dan menjaga ibu serta lima anaknya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran. – JURNAL