Buku teks Sejarah masih mengekalkan fakta kurang tepat walaupun sudah ada banyak kajian yang menolak hal berkenaan.
Misalnya, dalam konteks Perjanjian Pangkor 1874, buku teks Sejarah masih menuliskan ia berlaku disebabkan perselisihan faham antara Sultan Abdullah dan Sultan Ismail selain turut disebabkan oleh pergaduhan antara kongsi gelap lalu mencetuskan Perang Larut di Perak.
Dalam hal ini, Pensyarah Kanan Bahagian Sejarah Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Azmi Ariffin, berkata sejak 1970-an lagi fakta itu dipertikaikan termasuk oleh sarjana Barat sendiri.
Namun, sehingga kini sejarah Perjanjian Pangkor dalam buku teks tidak diperbetulkan.
“Perjanjian Pangkor 1874 adalah pintu yang membuka peluang kepada British untuk membuat campur tangan di negeri-negeri Melayu.
“Kefahaman umum pada Perjanjian Pangkor kini satu kekeliruan bahkan penipuan sejarah yang amat dahsyat,” katanya dalam siri Apa Khabar Dr Azmi Ariffin?, berjudul Perjanjian Pangkor 1874: Kekeliruan dan penipuan dahsyat sejarah yang disiarkan di laman sosial TikTok Studio Buku.
Menerusi perkongsian itu yang turut disiarkan di laman sosial Facebook, Penerbit USM, Azmi berkata berdasarkan penyelidikannya, selepas Sultan Ali (bapa kepada Raja Abdullah) mangkat, Raja Abdullah sepatutnya menggantikan ayahandanya untuk ditabalkan sebagai Sultan, namun baginda menolak.
“Disebabkan Raja Abdullah tidak mahu maka akhirnya pembesar-pembesar di Perak ketika itu bermuafakat melantik Raja Osman, juga anak kepada Sultan Ali, untuk menjadi Sultan Perak baharu.
“Bagaimanapun, Raja Osman juga menolak dan mencadangkan Raja Ismail dilantik menjadi Sultan. Setelah dipaksa, akhirnya Raja Ismail bersetuju.
“Ketika itu, jika tiada pelantikan Sultan baharu dibuat, maka jenazah Sultan Ali akan terus kekal dan tidak ditanam,” katanya.
Tegas Azmi, mengikut adat istiadat Perak, jenazah Almarhum Sultan hanya akan dikebumikan setelah ada Raja baharu ditabalkan.
Namun katanya, buku teks Sejarah sekolah menyebut Raja Ismail merampas hak dan kedudukan Raja Abdullah selain menggambarkan seolah-olah tragedi merampas kuasa oleh Raja Abdullah kemudiannya berlaku dalam masa sehari selepas pelantikan Raja Ismail, sedangkan hal itu berlaku setelah setahun.
Azmi berkata, rakyat perlu faham dengan jelas bahawa Perjanjian Pangkor membentuk imperialisme penjajahan daripada banyak perjanjian yang ada di Tanah Melayu dalam konteks sejarah yang dibuat oleh British.
Katanya, setiap perjanjian pada zaman kolonial adalah bentuk proses kolonialisme itu sendiri dan ia bukannya perjanjian biasa yang dibuat secara seimbang tetapi penuh dengan gertakan, ugutan, paksaan dan penipuan.
“Hal ini seperti yang berlaku di Singapura, British melantik seorang Sultan di sana untuk mendapat tandatangan sahaja supaya mereka dapat merampas Singapura.
“Kes di Singapura ini sama sahaja seperti yang berlaku di Perak bahkan termasuk juga dengan Perjanjian Bangkok.
“Mereka (British) buat perjanjian untuk serahkan wilayah ini macam wilayah itu adalah hak mereka. Keadaan atau kes seperti ini juga yang berlaku di Tanah Melayu,” katanya.
Tegas Azmi, Perjanjian Pangkor berlaku dengan cara kekerasan dan ia bermula dengan gertakan serta ugutan ketenteraan.
“Apabila British gagal menjadikan Raja Abdullah sebagai Sultan, mereka kemudian merancang untuk melantik orang lain untuk pecat Raja Ismail melalui surat paksa.
“Melalui surat itu, Raja Abdullah perlu tegaskan kedudukannya sebagai Sultan terhadap Raja Ismail.
“Malah, sekiranya Raja Abdullah gagal mengukuhkan kedudukannya sebagai Sultan, British akan menghantar satu lagi surat yang menabalkan pula Raja Yusuf sebagai Sultan yang baharu,” katanya.
Apa yang jelas tegas Azmi, British mahukan Sultan yang boleh berkuasa bagi memenuhi kehendak mereka.
“Satu lagi perkara yang mungkin tiada dalam buku kita ialah tentang apa yang British lakukan pada peringkat akhir untuk menguasai Perak.
“Jalan yang digunakan ialah tindakan melalui kekerasan iaitu perang,” katanya
Tambahnya, pembunuhan Birch pada 1875 dianggap satu ‘hadiah daripada Tuhan’ dan mereka gunakan alasan pembunuhan itu sebagai dakwaan orang Melayu mengisytiharkan perang terhadap British.
Susulan itu katanya, British mula mengimport askar-askar daripada luar dan kemudian mencuba gunakan senjata baharu.
“Ketika itu satu pelancar roket dihantar dan mereka gunakan untuk menembak dan membakar kampung-kampung.
“Malah ada yang dibunuh dan digantung pada pokok-pokok. British juga melaksanakan hukuman yang membabi buta, kanak-kanak, wanita dan orang tua ditembak dari belakang,” ujarnya.
Katanya, meskipun subjek Sejarah bertujuan menanamkan kesedaran patriotik dalam kalangan pelajar, tetapi kisah kejahatan British ini tidak dijelaskan dengan jujur.
Sebaliknya apa yang dicatatkan adalah kerajaan tempatan ini adalah jahat dan negatif kerana didominasi oleh sistem pemerintahan serta adat resam pribumi.
“Semuanya negatif. Sejarah yang diangkat adalah berkenaan perhambaan, sistem berkerah, hamba berhutang dan sebagainya yang mana semua itu sebenarnya boleh dipertikaikan,” katanya.
Azmi menjelaskan masih banyak lagi fakta kes atau kejadian di Perak yang tidak dijelaskan dan diceritakan kepada masyarakat. Malah Perjanjian Pangkor seperti termuat dalam buku teks Sejarah adalah dari sudut pandang British.
Katanya, dalam buku Sejarah catatan mengenai rakyat tempatan semuanya teruk belaka misalnya termasuk pembesar, sistem pentadbiran, masyarakatnya juga rajanya yang gila kuasa.
“Pembesar kita (dikatakan) teruk, sistem negatif, rakyat jahat, pembesar tidak guna, raja gila kuasa dan sebagainya.
“Inilah buku sejarah yang disajikan kepada pelajar supaya mengambil iktibar patriotik.
“Dalam buku sejarah kita menceritakan bahawa British datang untuk memodenkan dan memajukan Perak.
“Mesej yang ingin disampaikan ialah British adalah sebuah kerajaan yang membantu dan memakmurkan negara ini daripada penindasan pemerintah-pemerintah pribumi yang jahat,” katanya.
Justeru katanya, dengan penulisan begitu akhirnya generasi muda akan akan mempertikaikan sama ada kita ini sebenarnya dijajah atau tidak, kerana British ini dipandang baik. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO