Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei meminta bekas jaguh badminton Indonesia, Taufik Hidayat, untuk menghubungi Persekutuan Badminton Dunia (BWF) berkenaan pemilihan beliau dalam Hall of Fame 2023 BWF baru-baru ini.
Bercakap kepada Bernama bekas pemain nombor satu dunia itu mengakui, tidak gembira dan terkejut dengan kenyataan Taufik, yang seakan tidak bersetuju tentang pemilihan itu sedangkan ia diputuskan sendiri pihak BWF dan bukannya atas permintaan beliau.
Beliau berkata, komen dilontarkan Taufik yang disifatkan sebagai rakan baik sewaktu zaman kegemilangannya itu, seakan menyerang beliau selepas menerima pengiktirafan tersebut.
“Bukan saya yang minta BWF senaraikan saya dan bukan saya yang tulis surat kepada BWF, saya sendiri sebelum ini tidak tahu pemilihan ini.
“Mungkin ada syarat-syarat untuk pilih siapa yang dapat, dan ada juga pemain Malaysia juga menerima Hall of Fame yang tidak pernah memenangi (pingat emas) Olimpik.
“Taufik patut tanya BWF, tulis surat atau e-mel, tanya kenapa anugerah diberi kepada saya dan bukan dia, mungkin dia tak gembira sebab tak dapat,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu pada masa sama turut berharap BWF mengeluarkan satu kenyataan, menjelaskan kepada Taufik mengapa beliau dan Lin Dan disenaraikan ke dalam Hall of Fame BWF itu.
Pada 26 Mei lalu, Chong Wei, 41, dan Lin Dan, telah dimasyhurkan dalam Badminton Hall of Fame BWF atas kejayaan dan sumbangan mereka terhadap sukan badminton, dengan muncul sebagai pemain perseorangan lelaki paling dominan, ketika era kegemilangan mereka.
Penguasaan Chong Wei dalam arena badminton menyaksikan, beliau meraih 47 gelaran Siri Super /Jelajah Dunia BWF sepanjang 19 tahun penglibatannya dan memegang gelaran nombor satu dunia selama 349 minggu.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu merupakan atlet badminton paling berjaya Malaysia, dengan tiga pingat perak Sukan Olimpik iaitu Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, serta tiga gelaran naib juara kejohanan dunia pada 2011, 2013 dan 2015.
Namun baru-baru ini, Taufik melalui satu video viral di media sosial, mempersoalkan kelayakan Chong Wei disenaraikan dalam Dewan Kemasyhuran BWF itu.
BACA: Taufik Hidayat Pertikai Lee Chong Wei Tersenarai Dalam Hall Of Fame
Taufik mengakui bahawa Lin Dan lebih layak untuk mendapat pengiktirafan itu dan beliau mempersoalkan kewujudan nama pemain Malaysia berkenaan, dalam senarai itu.
“Dalam pertandingan, yang diambil kira siapa yang juara bukan ditentukan siapa yang paling lama (konsisten).
“Bukan juga ditentukan siapa yang paling lama berada di tempat pertama. Kalau menang 10 kali perak dan hanya satu kali emas, kamu akan pilih yang mana?,” menurut Taufik.
Dalam pada itu, Chong Wei menasihati para peminatnya supaya bertenang dengan komen diberikan Taufik kepadanya, selain memaklumkan agar peminatnya tidak menimbulkan kekacauan di media sosial. – JURNAL
Sumber: BERNAMA