Isteri bekas Ketua Polis Negara, Puan Sri Elly Afizahwati Abdul Jalil menafikan beliau menyebarkan tiga klip video pergaduhannya dengan suaminya, Tan Sri Musa Hassan dalam media sosial, beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau mengakui merakam video insiden berkenaan dengan tujuan untuk mempertahankan diri serta menjadi bukti yang boleh digunakannya dalam proses perceraiannya ketika ini.
“Saya tidak berniat untuk menularkan video berkenaan, apatah lagi untuk menjatuhkan reputasi mana-mana pihak.
“Saya tahu mengenai penularan video tersebut daripada adik saya yang melihatnya di aplikasi TikTok,” katanya ketika ditemui selepas selesai proses memfailkan penceraiannya dengan Musa di Bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Shah Alam, pada Khamis.
Elly Afizahwati menambah, beliau tidak pasti individu bertanggungjawab menularkan video berkenaan, namun enggan menuduh mana-mana pihak yang membuat perkara itu.
Bagaimanapun, beliau mengecam pihak yang menularkan video tersebut kerana mendedahkan wajah anaknya.
“Pihak peguam Musa membuat laporan polis terhadap saya (berhubung penularan video itu) dan saya telah dipanggil oleh pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi keterangan (berhubung hal terbabit).
“Saya serahkan telefon bimbit yang mengandungi rakaman insiden berkenaan dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan. Pada waktu yang sama, saya juga membuat laporan polis terhadap Tan Sri (Musa) yang memukul saya ketika kejadian tersebut,” ujarnya. – JURNAL
Sumber: UTUSAN