Baru berusia tiga tahun, seorang kanak-kanak lelaki mati dibunuh dengan kejam setelah kepalanya tersepit pada celahan pokok, manakala terdapat kesan torehan di tangan serta kaki.
Ditemui di kawasan semak oleh ibunya sendiri, mayat mangsa diikat menggunakan tali di Kampung Panji, Lahad Datu, Sabah pada jam 3 petang, semalam.
Timbalan Ketua Polis Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa daripada talian kecemasan 999.
Katanya, mayat ditemui dalam keadaan berdarah dan terdapat kesan ikatan pada bahagian tangan kanak-kanak itu.
“Menurut ibu mangsa yang berusia 20-an, anaknya keluar bermain namun tidak pulang ke rumah dan kali terakhir dilihat pada jam 12 tengah hari, Sabtu.
“Ibu mangsa berusaha mencari di sekitar kampung dan hanya menemui anaknya pada jam 3 petang dalam keadaan mengalami kecederaan luka bahagian kepala, kedua belah tangan dan kaki kiri, manakala tangan sebelah kanan diikat menggunakan tali,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya lagi, ibu mangsa segera mendapatkan bantuan daripada orang ramai bagi menghubungi pihak polis.
“Hasil pemeriksaan mendapati, mangsa dalam keadaan tangan kanan terikat, kepalanya turut tersepit antara dua belah pokok. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN