Kakak yang sepatutnya menjadi pelindung kepada adiknya berusia empat tahun menjadi antara suspek kes pembunuhan kanak-kanak malang itu.
Kanak-kanak lelaki berusia empat tahun terbabit maut dipercayai didera oleh penjaga dan kakaknya di Batu Pahat, Johor.
Dalam kejadian yang dilaporkan seorang lelaki berusia 23 tahun pada Jumaat lalu, mangsa dibawa ke klinik untuk mendapatkan rawatan selepas dikatakan pengsan di rumahnya di Senggarang, Batu Pahat.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, bersangkutan dengan laporan, pihak polis menahan lima suspek di sekitar Senggarang bermula tengah malam Jumaat sehingga 9.45 malam, Sabtu.
Katanya, kesemua yang ditahan terdiri daripada tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun.
“Tiga daripadanya adalah ahli keluarga iaitu dua orang kakak dan seorang abang ipar mangsa,” jelasnya.
Kamarul Zaman menambah, polis juga merampas beberapa barangan termasuk kabel pengecas telefon, sarung bantal dan rod motosikal.
Beliau berkata, kesemua barangan tersebut digunakan untuk mendera mangsa.
“Mangsa berada di bawah jagaan kakaknya yang berusia 19 tahun selepas ibu bapa mereka dipenjarakan atas kesalahan dadah.
“Bagaimanapun, kakaknya meminta rakan untuk menjaga mangsa.
“Namun, mangsa akhirnya meninggal di Hospital Sultan Ismail pada jam 6.45 petang semalam selepas dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut sejak Jumaat,” katanya.
Kesemua suspek direman sehingga 31 Disember ini bagi membantu siasatan yang disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Ekoran kematian mangsa, kes akan turut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – JURNAL