Penderitaan seorang kanak-kanak yang didera bapa kandung dan teman wanita lelaki itu sejak enam bulan lalu berakhir apabila disedari jiran sebelum diselamatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada Jumaat.
Pengasas Pertubuhan Kebajikan Komuniti Johor, M Caren Nantheny, 46, berkata, budak lelaki berusia lapan tahun itu tinggal bersama bapa kandung dan teman wanitanya masing-masing berusia 43 tahun bersama anak wanita itu yang berusia tiga tahun.
“Mangsa tinggal bersama mereka di rumah flat di Taman Pulai Jaya, Skudai di sini sejak bapa kanak-kanak ini berpisah dengan ibu kandungnya pada 2021.
Ibu bapa kandung budak ini berasal dari Klang, Selangor dan bapanya yang berkerja sebagai pemandu van kilang melarikan mangsa ke Johor Bahru selepas bercerai.
“Kejadian dera terhadapnya terbongkar selepas seorang warga asing datang ke rumah mangsa pada malam Khamis untuk menumpang barang basah di peti ais mereka.
“Pada masa itu warga asing itu ternampak mangsa dalam keadaan bogel, menggigil dan tidak bermaya dalam bilik air.
“Melihat seperti ada yang tidak kena, warga asing tersebut memaklumkan apa yang dilihatnya kepada jiran sebelum jiran terbabit menghubungi kami,” katanya ketika ditemui selepas melawat kanak-kanak berkenaan yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Selasa.
Beliau berkata, susulan itu jiran berkenaan atas saranan pihaknya dan Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada Jumaat sebelum pasangan tersebut diberkas pada hari yang sama.
Katanya, kanak-kanak berkenaan kemudian dihantar ke HSA pada Jumaat untuk pemeriksaan kesihatan dan masih dirawat sehingga kini.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk India Kangkar Pulai, N Bathmarajan, 55, berkata, semasa menerima aduan, pihaknya pergi ke rumah kanak-kanak itu untuk melihat keadaannya tetapi gagal sebelum menghubungi polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurutnya, siasatan pihak polis mendapati terdapat kesan lebam dan terbakar termasuk parut lama pada tubuh mangsa.
“Semasa diselamatkan dalam keadaan bogel, terdapat kesan luka serta tapak kakinya cedera hingga sukar bergerak.
“Kita percaya berdasarkan cerita kanak-kanak terbabit, dia sudah didera lebih daripada enam bulan. Dia beritahu ibu kandungnya selepas diselamatkan, dia tidak sanggup lagi didera.
Kanak-kanak itu mendakwa sering dikurung kerana selalu keluar rumah dan nakal,” katanya.
Bathmarajan berkata, sebelum diselamatkan, jiran mendakwa sering mendengar mangsa menjerit.
“Mangsa juga dibiarkan tidak bersekolah. Apabila ditahan polis, bapa dan kekasihnya saling tuduh-menuduh.
“Berat badan mangsa juga susut mendadak daripada 55 kilogram (kg) kira-kira enam bulan lalu dan semasa diselamatkan hanya seberat 29 kg,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian tersebut dan dua individu terbabit sudah direman bagi membantu siasatan. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN