Beberapa hari ini kecoh di media sosial apabila tular wajah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan berbeza kerana mata beliau yang lebam dan bengkak.
Tidak berdiam dengan tuduhan negatif warga maya, anak sulung Zahid, Datuk Nurulhidayah tampil mendedahkan punca.
Menurut Nurulhidayah, bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan serta sedang dalam proses pemulihan selepas menjalani pembedahan mata.
Nurulhidayah menjelaskan perkara tersebut menerusi ruangan komen, menjawab pertanyaan warga maya.
“Iya… saraf mata dia tak berfungsi. Itu mata dia jadi (kelihatan) jatuh.
“Buat muka untuk apa, bukan ‘superstar’ pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata kena la buat sesuatu.
“Tetapi biasa lah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” katanya.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah juga menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, Zahid perlu kuatkan semangat walaupun sakit kerana memikul tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata.
Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Namun Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk sekali lagi mencuri tumpuan apabila dilihat tampil memakai cermin mata hitam di Persidangan Pertubuhan Akademi Kebangsaan Biro Siasatan Persekutuan (FBINAA) Asia Pasifik ke 23 di Kuala Lumpur pada 26 Jun lalu.
Beberapa hari selepas itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu tidak lagi mengenakan kaca mata, dan menampakkan keadaan matanya yang lebam. – JURNAL