Majlis pembukaan Para Sukma 2024 di Stadium Perpaduan, Sarawak, berlangsung penuh gemilang apabila jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, diberi penghormatan menyalakan obor temasya, mencetuskan sorakan gemuruh dari kira-kira 3,000 hadirin.
Bonnie, yang baru sahaja mempertahankan emas dalam kategori 72 kilogram lelaki pada Sukan Paralimpik Paris 2024, menjadi ikon utama pada malam pembukaan ini.
Dengan obor dinyalakan, ia menandakan bermulanya perjuangan sengit lebih 1,200 atlet dari 15 kontinjen yang bakal bersaing dalam temasya dwitahunan ini.
Sorotan malam turut disemarakkan dengan pertunjukan cahaya laser yang memukau, menjadikan majlis pembukaan lebih meriah dan memikat perhatian penonton.
Majlis dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, yang turut dihadiri isteri beliau, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, dan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Pembukaan majlis dimulakan dengan segmen ‘Semangat Juang’, menampilkan persembahan hebat oleh dua orang kurang upaya, kumpulan silat dari Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, serta paluan gendang tradisional oleh wakil Persatuan Tabaubrian Singa dan Naga Drum.
Acara kemudiannya diteruskan dengan perarakan masuk kontinjen bertanding, dimulakan oleh Terengganu dan diakhiri dengan kontinjen Sarawak, yang mendapat sorakan hebat daripada para penyokong tuan rumah.
Selepas ucapan oleh Abang Johari dan Hannah Yeoh, Yang Dipertua Negeri Sarawak menyempurnakan perasmian dengan simbolik menyentuh peranti ‘Ipad’ di pentas utama.
Bendera Para Sukma kembali dikibarkan di Bumi Kenyalang selepas lapan tahun, dengan bantuan anggota Tentera Diraja Laut Malaysia.
Seterusnya, atlet tuan rumah Leeyendy Jisen Abdullah dari sukan olahraga mengetuai ikrar atlet bersama Arang Kanna Sondarajan yang mewakili pegawai teknikal Para Sukma 2024.
Penonton turut dihiburkan dengan alunan sape indah oleh Alena Murang dan nyanyian Bob Yusof yang mendendangkan lagu When You Tell Me That You Love Me.
Malam gemilang diteruskan dengan Bonnie diiringi gabungan bekas dan atlet Sarawak, termasuk Jamery Siga (renang), Batricia Richael Santau (olahraga), Fatimah Wagimin (powerlifting), dan Ting Ing Hock (pingpong), membawa dan menyalakan obor temasya.
Persembahan tarian tradisional kreatif ‘Segulai Sejalai’ oleh kanak-kanak tempatan dan pertunjukan bunga api yang menceriakan langit malam di luar stadium, melengkapkan pembukaan temasya ini.
Sebanyak 328 pingat emas dari 10 sukan, termasuk olahraga, powerlifting, badminton, renang, pingpong, boling padang, memanah, boccia, tenpin boling, dan catur, menjadi rebutan atlet sepanjang Para Sukma 2024. – JURNAL
Sumber: Harian Metro