Jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin, tidak memandang remeh saingan daripada Donato Telesca, pesaing dari Itali, dalam usahanya mempertahankan emas kategori 72kg lelaki di Sukan Paralimpik Paris 2024.
Meskipun memegang rekod dunia dengan angkatan 231kg dan rekod temasya 228kg, Bonnie tetap berhati-hati.
“Saya kini dalam fasa mencapai prestasi puncak. Tekanan untuk mempertahankan emas memang ada, tapi saya fokus pada persiapan mental dan berpotensi memecah rekod lagi,” katanya selepas menerima kunjungan Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk R Subramaniam, di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik, Kampung Pandan.
Bonnie turut berbangga dipilih sekali lagi membawa Jalur Gemilang pada upacara pembukaan rasmi temasya itu pada 28 Ogos.
Beliau juga gembira dapat beraksi bersama Nicodemus Manggoi Moses dan pemenang pingat perak Tokyo 2020, Jong Yee Khie, di Paris nanti.
Nicodemus akan membuat penampilan sulung di Paralimpik dalam kategori 97kg lelaki, menambah sokongan kepada pasukan powerlifting negara.
Sebagai info, Sukan Paralimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September ini. – JURNAL
Sumber: Sinar Harian