Usahawan dan pempengaruh media sosial yang terkenal dengan konten perkongsian tip perniagaan di media sosial didapati menjalin hubungan sulit bersama pekerjanya.
Pendedahan itu dilakukan sendiri oleh isteri influencer terbabit yang memaparkan satu persatu syot layar perbualan mereka menerusi aplikasi WhatsApp.
Susulan entri dimuatnaiknya tular di media sosial, isteri lelaki berkenaan iaitu Shermine memohon maaf kepada semua pihak yang terlibat.
Dalam hantarannya, Shermine memaklumkan sebelum ini dia kerap menerima nasihat daripada netizen supaya lebih berhati-hati dengan ‘penyondol’ terbabit, namun memilih untuk mempercayai suaminya sendiri yang menganggap sekadar strategi pemasaran.
Difahamkan, hubungan sulit bekas suami serta pekerjanya itu sudah mula terhidu sejak April 2022 ketika Shermine berpantang dan mereka pernah pergi bercuti ke Bali, Indonesia secara berduaan.
Apa yang lebih menyedihkan, Shermine terpaksa menanda tangani surat cerai selepas menerima ugutan dan ketiga-tiga anaknya perlu diberikan kepada bekas suaminya itu.
Walaupun sudah mengikut semua keinginannya, Shermine menyangka bekas suaminya itu menyayanginya setulus hati namun, sangkaannya meleset sama sekali.
Bagaimanapun, Shermine meminta kepada semua peminat agar tidak bimbang akan keadaan dirinya terkini dan dia perlu merahsiakan lokasinya atas faktor keselamatan dan berharap pihak berkuasa dapat membantunya dalam isu ini. – JURNAL