Episod pertama siri animasi BoBoiBoy Galaxy SORI meraih 3.5 juta tontonan dalam masa 24 jam pada tayangannya Ahad lalu menerusi saluran YouTube Monsta.
Pengarah Pemasaran dan Jualan Monsta, Faiz Zainal Aabidin berkata, kejayaan itu bukti populariti watak BoBoiBoy kini sedang meningkat naik ke puncak lebih tinggi.
“BoBoiBoy kini sudah menjangkau 12 tahun. Kanak-kanak yang mengikutinya sejak kecil kini sudah meningkat remaja dan dewasa. Kami menggelarkan mereka sebagai Generasi-B (BoBoiBoy).
“Generasi itulah yang meluangkan masa dengan anak-anak mereka pula untuk menonton dan berkongsi rasa teruja dengan kemunculan episod baharu BoBoiBoy di kaca TV mahupun di tablet dan telefon pintar,” katanya.
Faiz juga memaklumkan seramai lebih 100,000 penonton menanti tayangan episod pertama itu di saluran YouTube rasmi terbabit.
“Kalau nak dibandingkan, jumlah ini adalah lebih besar daripada kapasiti Stadium Nasional Bukit Jalil yang hanya boleh memuatkan seramai 85,000 penonton pada satu masa,” katanya.
Tanda pagar #BoBoiBoy dan #GelombangOren turut memasuki carta ‘trending’ di laman sosial media popular X pada hari pertama dan kedua selepas tayangan episod pertama.
Monsta turut meraikan 400 peminat tegar di Megafan Screening BoBoiBoy Galaxy SORI di pusat beli belah di Putrajaya, Sabtu lalu dengan tayangan episod satu hingga tiga di pawagam.+
Tayangan BoBoiBoy Galaxy dibahagikan kepada empat siri pendek, BoBoiBoy Galaxy SORI, BoBoiBoy Galaxy Windara, BoBoiBoy Galaxy GenBara, dan BoBoiBoy Galaxy Gur’latan.
Setiap siri mengandungi enam episod baru dengan tema berbeza, berlatarbelakangkan penceritaan dan pengembaraan yang diolah semula dari siri komik BoBoiBoy Galaxy Musim kedua keluaran Monsta.
BoBoiBoy Galaxy SORI kini ditayangkan di Monsta YouTube dan Netflix setiap hari Ahad jam 7.30 malam, dan di saluran televisyen tempatan TV9 bermula 13 Disember ini pada pukul 6.30 petang. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO