Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, membidas Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin, yang mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan.
Puad turut menyifatkan Muhyiddin sebagai seorang yang angkuh apabila mengeluarkan kenyataan tersebut.
BACA: PRN: Dakwa PH-BN Kalah Teruk, Muhyiddin Gesa Anwar, Zahid Letak Jawatan Serta-merta
Puad menerusi hantaran di Facebook (FB)nya berkata, ketika PN kalah di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor sebelum ini, Muhyiddin tidak meletak jawatannya selepas gabungannya mengalami kekalahan teruk.
“Jangan menuding jari. Ia beban bersama. Mendesak Ahmad Zahid letak jawatan bukan penyelesaian. Semua bertanggungjawab.
“Muhyiddin angkuh bila suruh Ahmad Zahid letak jawatan.
“Bila PN kalah teruk di Melaka dan Johor, dia tidak letak jawatan. Dia kekal Presiden BERSATU sedangkan dia kluster mahkamah,” katanya.
Beliau berkata, UMNO yang mengalami kekalahan terburuk dalan PRN di enam negeri kelmarin perlu mendapatkan semula sokongan orang Melayu.
“Menteri-menteri UMNO mesti serius menjayakan agenda Melayu dan rakyat. Kuasa di tangan mereka.
“Sebab itu UMNO mesti kekal dalam Kerajaan Perpaduan. PH-BN perlu mengukuhkan kerjasama. Ahmad Zahid sesuai pikul misi ini. Dia tidak perlu letak jawatan. Jangan melatah,” katanya.
Selain Ahmad Zahid, Muhyiddin kelmarin juga mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletak jawatan serta-merta susulan penolakan pengundi Melayu dalam PRN di enam negeri.
Muhyiddin menyifatkan, kemenangan PN di kerusi majoriti Melayu dan kawasan campuran membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh serta perpaduan palsu yang diterajui oleh Anwar dan Ahmad Zahid. – JURNAL