Kualiti, keunikan dan ekslusif menjadi faktor syarikat Bike and Beans memilih untuk membawa jenama basikal premium dari Itali iaitu Officine Mattio untuk dipasarkan di negara ini.
Pengarah Pemasarannya, Samsul Kamal Arrifin berkata, keunikan Officine Mattio adalah strategi perniagaannya yang mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.
Selain reka bentuknya yang eksklusif, setiap perincian basikal ini juga dihasilkan dengan penuh teliti.
“Officine Mattio adalah satu jenama basikal premium yang pertama kali kami bawakan ke Malaysia.
“Dengan harga yang ditawarkan, ia bersesuaian dengan kualitinya. Officine Mattio merupakan basikal berkualiti buatan tangan.
“Lebih istimewa lagi, carbon fiber yang digunakan pada badan basikal ini adalah carbon fiber yang sama digunakan pada kenderaan mewah seperti Ferrari dan Lamborghini,” katanya.
Dalam pada itu, Samsul Kamal berkata, apa yang membuatkan Officine Mattio berbeza dengan jenama lain dipasaran ialah, kualiti sentiasa diutamakan.
“Selain reka bentuknya yang eksklusif, setiap perincian basikal ini juga dihasilkan dengan penuh teliti.
“Pembeli boleh mendapatkan design dan warna yang mereka inginkan. Kami juga memberi jaminan basikal mereka boleh siap dalam tempoh masa tiga bulan,” katanya.
Samsul Kamal ditemui pada majlis pelancaran basikal berkenaan yang diadakan di Bike and Beans Cafe, Putrajaya, baru-baru ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Menteri Belia Dan Sukan Adam Adli Abdul Halim yang tampil memberi sokongan.
Tambah Samsul Kamal lagi, melihat kepada perkembangan sukan berbasikal dalam kalangan masyarakat hari ini, beliau berharap agar prasarana bagi aktiviti tersebut dapat ditambah baik.
“Hari ini sukan berbasikal semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Bermula dari Perintah Kawalan Pergerakan beberapa tahun lalu, aktiviti ini semakin popular.
“Kemudahan-kemudahan yang ada juga semakin baik terutama di sekitar Lembah Klang. Saya amat berharap agar Kerajaan Madani akan memberi tumpuan dan menambah baik prasarana aktiviti berbasikal di negara ini,” katanya.
Pada Sabtu lalu, selain melancarkan Bike and Beans sebagai pengedar tunggal jenama basikal dari Itali itu, pada majlis sama turut diadakan aktiviti Fun Ride dan pameran barangan basikal seperti pakaian serta aksesori.
Turut diadakan acara bidaan basikal Officine Mattio model The Santiago C Levante, yang hanya dikeluarkan sebanyak 10 unit sahaja di dunia.
Basikal dengan nombor siri 003 itu berjaya dibida dengan harga RM80,000 pada hari tersebut.
Beberapa artis terkenal tanah air yang aktif dalam dunia berbasikal seperti Amar Baharin, Baggio Damasutra dan Shahrin Blackrose turut hadir menyerikan majlis.
Sedikit info mengenai Bike and Beans, selain mengendalikan aspek runcit perniagaan, mereka juga mempunyai syarikat pembekal makanan Aiena Signatures, agensi pemasaran digital Truepixel dan syarikat pembinaan serta hiasan dalaman Bakateam Services.
Sinergi gabungan semua perniagaan ini antara rancangan untuk mengembangkan rangkaian Bike and Beans ke sepuluh lokasi di seluruh Malaysia dalam masa 18 bulan.
Bike and Beans yakin dalam masa terdekat, Officine Mattio akan menjadi jenama basikal premium pilihan yang terkenal di Malaysia. – JURNAL