Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla dan Twitter, Elon Musk sekali lagi kehilangan status sebagai manusia paling kaya di dunia selepas memegang gelaran itu buat seketika pada awal minggu ini.
Kekayaan bersih Musk bernilai AS$176 bilion selepas kehilangan kira-kira AS$7.71 bilion, demikian menurut Bloomberg Billionaires Index.
Dengan kedudukan semasa, pengasas LVMH, Bernard Arnault memperoleh semula gelaran sebagai manusia paling kaya di dunia.
Arnault memiliki kekayaan bersih AS$187 bilion, selepas menambah sebanyak AS$710 juta lagi.
Mengikut senarai terkini Forbes Real-Time Billionaires, nilai bersih semasa Musk kini mencecah AS$186.9 bilion, manakala kekayaan peribadi Arnault berjumlah AS$211.2 bilion.
Musk menguasai senarai kekayaan bagi sebahagian besar 2022 berikutan pegangan tingginya dalam saham Tesla yang melonjak kira-kira 100 peratus berikutan penjualan serta permintaan pelabur.
Trend peningkatan kekayaan bersih Musk berterusan sebelum terjejas pada Disember apabila harga saham Tesla jatuh kira-kira 65 peratus.
Arnault dan Musk diikuti oleh pengasas Amazon dan Blue Origin, Jeff Bezos; pengasas bersama Microsot, Bill Gates; pelabur hartawan, Warren Buffett; dan pengasas bersama Oracle, Larry Ellison dalam senarai manusia paling kaya di dunia.
Bezos, Gates, Buffett, dan Ellison masing-masing mempunyai kekayaan bersih sebanyak AS$116 bilion, AS$114 bilion, AS$107 bilion, dan AS$100 bilion, mengikut Bloomberg Billionaires Index. – JURNAL