BMW Motorrad Malaysia mengakhiri penantian peminat motosikal berkuasa tinggi tempatan apabila memperkenalkan jentera BMW S1000RR.
Model motosikal berprestasi tinggi itu didatangkan dengan pelbagai penambahbaikan untuk memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai jentera ‘superbike’ yang superlatif.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Hans de Visser, berkata dengan pengenalan BMW S1000RR terbaharu, ia membuka satu lagi lembaran sejarah yang mengujakan dalam legasi kejuruteraan motosikal sporty dan dinamik daripada BMW Motorrad.
Sinonim dengan litar lumba, setiap aspek superbike ini telah dirumus khas dengan kebolehan untuk melakar persembahan yang terbaik, menjadikan jentera ini pilihan yang semula jadi bagi peminat motosikal yang berprestasi sukan permotoran sebenar.
“Dengan memilih untuk memperhalusi dan menaik taraf elemen rekaan yang tertentu, S1000RR baharu kini lebih tertumpu untuk memenuhi keperluan peminatnya yang mendambakan keunggulan.
“Mengendong DNA sukan permotoran prestasi tinggi, kami yakin bahawa jentera ini akan terus memberi inspirasi kepada penunggang yang berani menyahut cabaran,” katanya dalam satu kenyataan.
Memahat tanda aras baharu dalam segmen superbike, S1000RR baharu adalah sebagai antara model yang paling berprestasi tinggi dalam portfolio BMW Motorrad.
Dengan legasi sejak mula diperkenalkan pada 2009, siri S1000RR yang terbaharu menaikkan lagi tanda aras bagi segmennya.
Didatangkan dengan pelbagai inovasi serba komprehensif membabitkan enjin, suspensi,
casis, aerodinamik, reka bentuk dan sistem bantuan miliknya.
Dalam usaha mengoptimumkan fleksibiliti lateralnya, rangka utama S1000RR baharu telah diperkayakan dengan beberapa pembukaan pada bahagian sisi.
Selain itu, sudut kepala steringnya telah dilaraskan sebanyak 0.5° dan ofset bahagian pengapit bertiga telah dikurangkan sebanyak 3.0 mm.
Geometri casis yang baharu ini disempurnakan dengan bukan sahaja kejituan tunggangan yang lebih baik, tapi juga maklum balas yang lebih jelas daripada roda hadapan.
Seksyen hadapan dan belakang, serta sayap lawi jentera ini juga telah diperbaharui untuk meningkatkan prestasi aerodinamik dan sifat sporty.
Menjadi jantung S1000RR baharu adalah enjin sebaris empat silinder yang telah diperhalusi berdasarkan model yang terdahulu.
Puncak kuasanya kini mencecah 154 kW (210 hp) pada paras 13,750 rpm, iaitu peningkatan sebanyak 2.0 kW (3 hp) berbanding iterasi yang sebelumnya, manakala nilai tork maksimumnya sebanyak 113 Nm dijana pada paras 11,000 rpm.
Mengiringi kehebatan output kuasanya ialah julat kelajuan enjin yang lebih besar, dengan kelajuan maksimum enjin yang mencecah 14,600 rpm.
Selain penaiktarafan prestasi, inovasi yang lebih mengagumkan juga menambah baik aspek kawalan penunggang.
Ia meliputi fungsi Slide Control yang baharu dalam sistem Dynamic Traction Control (DTC), yang memberi bantuan kepada penunggang semasa memecut keluar dari selekoh.
Ia didatangkan dengan dua sudut drif praset bagi sistem kawalan cengkaman, kedua-duanya memanfaatkan sensor sudut stering lanjutan bagi mengurangkan kegelinciran serta menstabilkan motosikal berkenaan semasa menyendeng, iaitu sebaik sahaja sudut stering praset berkenaan dicapai.
Satu lagi inovasi yang menarik ialah Brake Slide Assist, yang menjadi sebahagian daripada ABS Pro yang dirangkumkan secara standard.
Juga berdasarkan teknologi sensor stering, fungsi baharu ini membolehkan penunggang membuat pratetapan sudut drif, atau disebut sebagai drif pembrekan, untuk kegunaan semasa memasuki selekoh pada kelajuan yang terkawal.
Di samping itu, S1000RR baharu juga didatangkan dengan empat mod tunggangan – “Rain”, “Road”, “Dynamic” dan “Race”.
Secara standard, S1000RR baharu dilengkapi dengan BMW Motorrad Race ABS, Hill Start Control (HSC), Shift Assist Pro, lampu signal LED, lampu hadapan dan belakang LED, serta M GPS Laptrigger.
Juga disertakan secara standard ialah Dynamic Package, yang mencakupi Riding Mode Pro, HSC Pro, Dynamic Brake Control (DBC), Dynamic Damping Control (DDC), penggenggam hangat dan kawalan luncur.
S1000RR terbaharu dibawakan dalam dua tema warna yang menawan – Style Passion dalam Racing Red serta M Package Lightwhite yang berorientasikan sukan perlumbaan.
Menerusi pelan pembiayaan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan S1000RR baharu bermula daripada RM1,578.00 sebulan (Style Passion, berdasarkan anggaran pembiayaan Balloon Financing sebanyak 80 peratus bagi tempoh 4 tahun).
Pelanggan juga boleh menikmati aneka faedah tambahan menerusi program yang terunggul seperti Inklusif Minyak Enjin Premium, Inklusif Servis dan Lanjutan Waranti oleh BMW Motorrad Malaysia. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE