Bintang Liverpool, Mohamed Salah menerima kritikan dan kecaman daripada penyokong muslim kelab terbabit sebaik sahaja memuat naik foto bersebelahan pokok krismas dan dikongsikan ke akaun media sosial berserta ucapan Merry Christmas.
Foto pemain berusia 30 tahun itu bersama isteri, Magi dan anak-anak mereka Makkan serta Kayan berpakaian pijama tidak disenangi penyokong Muslim yang kebanyakan dari luar United Kingdom.
Ada yang meluahkan rasa kesal, sekali gus berhenti menyokong Liverpool disebabkan Salah sambut Krismas.
“Saya tidak lagi menyokong Liverpool kerana anda meraikan Krismas bersama penganut agama itu,” luah seorang pengikut di Twitter.
“Saya menjadi penyokong Liverpool sejak kecil lagi tetapi kini saya berhenti menyokong kerana anda meraikan Krismas. Anda baru sahaja kehilangan saya sebagai peminat Mo Salah. Selamat tinggal!”, ciap yang lain pula.
“Mo Salah, saya suka awak sebagai peminat Madrid. Saya anggap anda pemain hebat dan sering menjadi inspirasi saya. Tetapi selepas ciapan ini saya tidak lagi anggap anda sebagai contoh.
“Anda mengecewakan saya. Jika anda tidak memadamkan ciapan ini, saya tidak akan mengikuti anda lagi,” kata seorang lagi peminat.
Bagaimanapun, ada juga yang mempertahankan penyerang Mesir itu apabila menganggap dia pemain terhebat Afrika.
“Bagi kami, anda adalah gabungan Lionel Messi, Cristiano Ronaldo dan Kylian Mbappe. Nikmatilah,” kata mereka.
“Ucapan Krismas paling ditunggu-tunggu,” komen seorang lagi.
Salah dijangka tampil dalam kesebelasan skuad Jurgen Klopp pada aksi pertama Liga Perdana sejak Piala Dunia dengan kunjungan ke Aston Villa pada Boxing Day. -JURNAL