Pernah melalui kegagalan dalam bisnes pertama, ia memberi banyak pengajaran dan pengalaman kepada ahli perniagaan, Asyraf Khalid untuk bangkit semula dengan perniagaan kedua iaitu Mutyara & A Klasse Essentials,
Akuinya, dia minat berniaga sejak daripada zaman kanak-kanak sehingga remaja dan membuka bisnes sendiri pada tahun 2016 dengan menjual produk kosmetik.
“Berdepan masalah dalaman, lebih banyak merujuk pada isu kepimpinan. Pada masa itu, saya pun masih muda, tiada asas kepimpinan dan ingatkan bisnes hanya mengenai membeli dan menjual tetapi ia adalah pengurusan perniagaan serta mengekalkan bisnes,” katanya.
Menurutnya, selepas tutup satu jenama perniagaan dia tidak putus asa untuk memulakan perniagaan lain lebih terarah kepada produk kesihatan dan kecantikan.
“Saya bermula daripada perniagaan keluarga iaitu bapa saya mengusahakan bisnes Simplysiti. Dari usia 18 tahun semasa belajar di luar negara hingga balik semula, saya masuk pejabat dan banyak belajar daripada pengalaman bapa saya sendiri dan pada masa itu saya banyak tahu mengenai bisnes,” katanya.
Ujarnya, cabaran dalam perniagaan bermula apabila menguruskan perniagaan sendiri.
“Pada masa itu saya banyak belajar daripada kelas, tengok ‘interview’ dan masuk seminar. Banyak guru kepimpinan di sana dan saya belajar. Dari situ, ia membina cara pemikiran dan saya fikir kualiti paling penting saya belajar adalah aspek kepimpinan yang membuatkan bisnes itu jadi atau tidak.
“Kalau kita ada visi yang gempak dan tahu nak ke mana tapi ‘leadership’ tak kuat, kita buat seorang semua benda, tiada apa yang akan berlaku,” katanya.
Baginya, keputusan menutup satu jenama sebelum itu dan memulakan jenama lain lebih merujuk pada isu personal dalam aspek matlamat dan kemampuan untuk melaksanakan bisnes.
“Apabila saya mula dengan bisnes Mutyara, saya mahu menjadi seseorang yang berbeza yang lebih matang. Berdasarkan pengalaman lalu dan latihan yang saya terima daripada kelas, ia membuat saya sedar ciri-ciri menjadi pemimpin,” katanya.
Asyarf juga berkongsi tips menjadi pemimpin yang hebat dalam perniagaan iaitu perlu mempunyai visi yang jelas.
“Kena tahu ke mana nak bawa bisnes itu. Bila dia faham, ia lebih senang untuk dia bercerita dengan semua orang. Kedua, bila kita mahu pergi suatu tempat, kita perlu pastikan semua dalam bot yang sama, kadang ia susah nak bagi semua untuk faham nak ke mana.
“Jadi, perlu bercerita pada setiap hari, selalu bercakap dengan mereka sebab perkara ini lebih memudahkan sesuatu visi itu untuk dicapai,” katanya.
Bagi mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai bisnes yang dijalankan Asyraf Khalid, jangan lupa saksikan temu bual bersamanya dalam program bual bicara terbaharu, Sembang Protege x KRU dalam Episod 7 – ‘Bukan Senang Jadi Boss’ menerusi platform laman sosial PROTEGE di YouTube, Facebook dan Instagram.- JURNAL