Hanya kerana berang bapanya menjual rangka motosikal miliknya, seorang anak sanggup menghentak kepala mangsa menggunakan mangkuk besi mesin pengisar adunan tepung dalam kejadian di Kampung Bechah Keranji, Peringat, Kota Bharu, Kelantan kelmarin.
Kejadian pada pukul 6.30 petang itu, mengakibatkan mangsa, Zulkifli Mohamad, 54, menerima tiga jahitan pada dahi.
Selain dihentak, anak lelakinya yang berusia 20 tahun turut menendang dan menumbuk bapanya ketika mereka bergelut di dalam sebuah bilik.
Zulkifli mendakwa, anaknya berang selepas mendapati rangka motosikal jenis Modenas Kriss miliknya yang disimpan di dalam stor rumah sudah tiada.
Katanya, sebelum ini anaknya itu sering menjual barangan di dalam stor rumah seperti enjin motosikal dan sangkar kucing secara dalam talian.
“Saya pernah memarahinya kerana sering menjual barangan di rumah ini. Apabila saya menjual rangka motosikal yang ada di dalam stor, dia pula marah dengan tindakan saya.
“Pada awalnya, dia marah sebelum menendang dan menumbuk saya. Dia kemudiannya bergegas keluar mengambil besi mesin pengisar adunan tepung lalu menghentak peralatan itu ke dahi saya,” katanya.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Mohd. Suhaimi Ali berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengesan suspek. – JURNAL
Sumber: KOSMO!