Bendahari BERSATU, Datuk Mohd Salleh Bajuri, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung perbelanjaan dana parti berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan Mohd Salleh kelmarin, namun tidak mengulas lanjut.
Bagaimanapun sumber memaklumkan, pemimpin BERSATU itu ditahan ketika hadir memberikan keterangan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya.
Sumber sama berkata, Mohd Salleh kini ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan kes.
“Sepatutnya tempoh reman tamat hari ini, namun ia dijangka dilanjutkan untuk siasatan lanjut bergantung kepada keperluan siasatan,” kata sumber itu.
Berdasarkan rekod, ini penahanan kedua membabitkan pemimpin parti itu selepas bekas Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian BERSATU Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, masing-masing dituduh kes rasuah di mahkamah berkaitan projek Jana Wibawa.
Wan Saiful mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah RM6.9 juta bagi projek berhubung inisiatif itu, manakala Adam Radlan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek sama.
Terdahulu, SPRM pada Januari dilapor membekukan beberapa akaun milik BERSATU susulan siasatan kes itu. – JURNAL
Sumber: BHOnline