Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi tampil memberi penjelasan ketiadaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada ceramah mega di Padang Awam Taman Ria, Sungai Petani, malam tadi.
Afnan pada majlis tersebut mengumumkan Sanusi dinasihatkan untuk tidak meneruskan ceramah beliau kerana ada perangkap yang dipasang musuh.
“Saya nak baca kertas ini yang tulis berita menyedihkan. Pagi tadi Menteri Besar mesyuarat di Kuala Lumpur, mesyuarat penting. Pada mesyuarat itu, dibincang beberapa perkara penting, perkara besar.
“Daripada itu dinasihatkan beliau tidak meneruskan ceramahnya pada malam ini kerana ada perangkap yang dipasang musuh, yang mengkehendaki Menteri Besar kita masuk ke dalam (perangkap) itu, (kemudian) dia pegang dan buat sesuatu kita tak jangka, jadi dalam waktu ini kita kena bersedia segala kemungkinan,” katanya.
Sanusi sepatutnya dijadual hadir pada Ceramah Mega Perikatan Nasional (PN) Bersama Menteri Besar dan menyampaikan ceramah serta berkempen bersama Pengerusi PN Merbok yang juga Ahli Parlimen Merbok, Mohd Nazri Abu Hassan dan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sementara itu Sanusi di laman sosial Facebooknya dilihat membuat permohonan maaf kepada semua penyokongnya.
“Maaf tak dapat hadir. Insya-Allah kita akan bertemu lagi,” katanya sambil meninggalkan firman Allah mengenai perancangan jahat.
Menerusi hantaran sama Sanusi turut meninggalkan pesan supaya jentera parti terus bekerja untuk menarik lebih ramai pengundi Perikatan Nasional.
“Teman, kuatkan lagi kerja menarik lebih ramai pengundi PN. Jangan lupa bermunajat kepada Allah SWT.
“Insya-Allah kita akan sama-sama bertakbir dan bertasbih atas kemenangan kita pada 12 Ogos nanti,” katanya.
Kelmarin, Muhammad Sanusi turut tidak hadir program Sembang Santai Bersama Panglima Perang PN di Padang Awam Taman Serai Wangi, Padang Serai yang bermula jam 5 petang.
Kegagalan beliau hadir pada program itu mencetuskan khabar angin mengatakan Ketua Pengarah PN yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeneri itu ditahan pihak berkuasa susulan siasatan kes kecurian unsur nadir bumi.
Bagaimanapun, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan tindakan itu dilakukan Bukit Aman, peringkat Kontinjen Kedah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Kedah seperti dilaporkan sebuah media tempatan.
Pada sidang media pagi tadi juga, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai kemungkinan Muhammad Sanusi ditahan dalam tempoh terdekat ini. – JURNAL