Seorang bekas tentera berdepan hukuman gantung sampai mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kangar hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya yang juga seorang jururawat Hospital Tuanku Fauziah, Kangar di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu, Arau pada 30 September lalu.
Tertuduh, Indera Zailan Mohamad Sani, 38 dari Gerik, Perak hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md Ali.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati membunuh Munirah Abu Bakar, 31, di sebuah rumah di Batu 3/4 Jalan Padang Nyu, Arau.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu pada 29 September sekitar jam 10 malam hingga 6.55 pagi pada 30 September lalu.
Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan.
Pendakwaan dilaksananakan oleh Timbalan Pendakwa Raya negeri, Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam, Hari Prassaad Rao.
Mahkamah kemudian menetapkan 17 November hadapan bagi sebutan semula kes di mahkamah yang sama sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi selain menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat kes berkenaan.
Dalam kejadian pada 30 September lalu, Indera Zailani membunuh Munirah dengan menikam mangsa di bahagian kiri dada dengan sebilah pisau di kediaman pasangan terbabit di Jalan Padang Nyu, Arau.
Kejadian jam 6 pagi itu dipercayai bermula dengan pergaduhan antara suspek dengan mangsa di ruang tamu rumah itu ketika mangsa sedang bersiap untuk ke tempat kerja.
Indera Zailan yang berang selepas itu secara tiba-tiba mengambil pisau dan menikam dada mangsa.
Selepas membunuh mangsanya, suspek dikatakan membawa wanita berkenaan ke dalam bilik utama dan menutup mayat mangsa dengan selimut tebal.
Suspek kemudian bertindak memandu kereta dan menghantar dua anak mereka berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh di Kampung Kubang Gajah, Arau yang terletak sekitar tiga kilometer dari tempat kejadian.
Selepas itu, suspek menyerah diri dengan memaklumkan kejadian berkenaan di pondok pengawal Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sekitar jam 10 pagi sebelum polis ke tempat kejadian.
Semakan ujian air kencing terhadap suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Manakala, hasil bedah siasat mangsa di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mendapati Allahyarham Munirah maut akibat luka tikaman hingga ke hati serta bahagian pembuluh darah. – JURNAL
Sumber: ASTRO AWANI