Seorang lelaki yang memukul dan menendang isterinya dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di Kajang hari ini.
Majistret Nik Siti Norazlini Nik Mohamed Faiz menjatuhkan hukuman itu ke atas ahli perniagaan, Reduan Mahamood, 58, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan disabitkan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkapan iaitu pada 19 November lalu dan tambahan sebulan jika gagal membayar denda.
Nik Siti Norazlini turut menasihati tertuduh supaya tidak mengulangi kesalahan sama kepada sesiapa sahaja termasuk isterinya.
“Kes ini bukan sahaja berkepentingan awam, malah demi kepentingan mangsa dan anak yang turut terlibat.
“Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada kamu. Seorang isteri adalah pendamping bukannya punching bag!” tegurnya.
Reduan didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas Adrina Mohd Ariff, 45, dengan memukul dan menendang mangsa menggunakan tangan dan kaki di rumah mereka di Batu 9, Cheras, pada 5.13 petang 14 Nov lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya.
Peguam Mohd Shafiq Ahmed Bazari yang mewakili Reduan memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang mempunyai dua anak telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu.
“Tertuduh menghidap penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi yang memerlukannya membeli ubat serta perlu kerap pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan selain dia penanggung utama keluarga,” kata peguam.
Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim memohon hukuman sewajarnya kepada tertuduh supaya bijak dalam mengambil sebarang tindakan pada masa hadapan.
Baru-baru ini, dalam video berdurasi satu minit tujuh saat yang tular itu memaparkan lelaki berambut panjang menarik tudung mangsa sebelum diheret dan ditendang pada bahagian muka serta badan berkali-kali. – JURNAL