Tidak semua wanita cantik bernasib baik dan dapat memiliki setiap yang mereka inginkan.
Itulah situasi dihadapi bekas ratu cantik Romania, Claudia Ardelean, 27, yang dipecat kerana ‘terlalu cantik’.
Kisah bekas ratu cantik tersebut telah mencuri tumpuan dunia apabila portal berita negara Eropah itu melaporkan bahawa Claudia tiba-tiba diarahkan berundur daripada jawatan Ahli Lembaga di Pneumophthisiology Clinical Hospital di Cluj.
Mengimbas kejadian pada 8 Februari lalu, Ardelean telah memuat naik gambarnya di media sosial sebagai kenangan atas pencapaiannya menduduki jawatan tersebut.
“Saya berterima kasih atas kepercayaan dan sokongan yang diberikan oleh Parti Liberal Nasional Cluj!” tulisnya.
Namun, hantaran tersebut telah dipadam selepas mendapat pelbagai reaksi negatif dan ada pihak mendakwa gadis berkenaan mendapat jawatan tersebut kerana kecantikannya.
Terkejut dengan keputusan tersebut, Ardelean memberitahu pihak media bahawa dia sangat kecewa dengan tuduhan yang dilemparkan kerana dia mempunyai kelayakan untuk jawatan tersebut.
Menurut pemilik dwi-ijazah dalam jurusan Undang-undang dan Etika Eropah itu, dia pernah bekerja sebagai peguam dan juga usahawan yang memiliki syarikat pengurusan acara sendiri.
“Sayang sekali di Romania, sikap prejudis masih lagi berleluasa dan kecantikan tidak sepatutnya menjadi penghalang kerjaya profesional seseorang,” luahnya
Justeru, Presiden Majlis Cluj tampil memberi kenyataan dengan mengakui beliau tidak sampai hati melakukan pemecatan itu memandangkan Ardelean berkelayakan, tetapi keputusan terpaksa dibuat bagi mengelak timbul rasa curiga atas pelantikan tersebut. – JURNAL