Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kembali bergelar mahasiswa apabila menyambung pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah.
Ismail Sabri, 64, berkongsi perkembangan terbarunya menerusi hantaran di Instagram (IG) dengan memuat naik bersama gambar kad matrik yang diperolehi, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci butiran jurusan pengajiannya.
“Alhamdulillah, hari ini dapat kad pelajar. Rasmi, hari ini saya jadi pelajar.
“Tak sangka tua-tua masih jadi pelajar. Inilah yang dikatakan belajar sepanjang hayat,” tulisnya di ruangan kapsyen IG.
Perkongsian Ismail Sabri itu mendapat maklum balas positif netizen dengan rata-ratanya kagum dan mengucapkan tahniah kerana menyambung pengajian.
“Tahniah Datuk Seri. Pembelajaran tiada had, dari buaian hingga ke liang lahad. You really walked the talk’ (cakap serupa bikin).
“Semoga Datuk Seri akan terus berjaya dalam karier sebagai ahli politik,” tulis pengguna IG dikenali sayaencikahmad.
“Semoga berjaya Datuk Seri. Bangga kad matrik kita sama,” katanya.
Mengikut rekod, Ismail Sabri pernah menyambung pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam jurusan undang-undang kemudian menjadi peguam pada 1985 sebelum menceburi arena politik dua tahun selepas itu. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO