Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melelong seutas jam tangan mewah miliknya dengan harga tapak RM40,000.
Kata Zulkifli, keseluruhan hasil jualan jam tangan Rolex yang merupakan hadiah daripada Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud itu akan didermakan kepada rakyat Palestin.
“Dengan menjunjung titah dan meraikan kesungguhan kerajaan Arab Saudi menyalurkan sumbangan bilion dollar kepada Palestin saban tahun, saya ingin membuka bidaan jam Rolex kesayangan ini.
“Hasil bidaan akan didermakan sepenuhnya untuk kebajikan rakyat Palestin yang sedang menderita di sana. Saya buka kepada yang berminat, untuk membida di ruang komen. Kenaikan bermula RM100 ke atas,” tulisnya di laman X pada Isnin.
Menjelaskan lanjut tentang jam berkenaan, beliau yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama berkata aksesori mewah itu merupakan pemberian cenderamata kiriman Raja Salman Abdulaziz pada 2017 ketika berkunjung ke Malaysia.
JAM ROLEX UNTUK PALESTIN
لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتّٰى تُنْفِقُوْا مِمَّا تُحِبُّوْنَ ۗوَمَا تُنْفِقُوْا مِنْ شَيْءٍ فَاِنَّ اللّٰهَ بِهٖ عَلِيْمٌ
Maksudnya: “Kamu tidak akan memperoleh kebajikan, sebelum kamu menginfakkan sebagian harta yang kamu cintai. Dan apa pun yang kamu… pic.twitter.com/V8dvu6gbGv— Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (@drzul_albakri) October 30, 2023
Namun dia hanya membuka kotak hadiah berkenaan selepas melepaskan jawatan menteri pada 2021.
“Apabila saya meletakkan jawatan sebagai menteri pada 2021, kotak tersebut dipindahkan ke pejabat peribadi saya.
“Di sana, barulah saya membukanya dan memakainya sebagai tanda penghargaan atas derma kurnia daripada Raja Saudi.
Sehingga berita ini disiarkan, bidaan jam tersebut sudah mencecah angka RM95,000.
Difahamkan, beliau akan menutup bidaan pada Selasa. – JURNAL