Banduan Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel mendakwa penderaan, pencabulan dan hukuman kolektif dilakukan oleh pengawal dalam beberapa minggu selepas serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu.
Mereka mendakwa dipukul dengan kayu, dicabul, diserang menggunakan anjing manakala makanan, tilam, bantal serta selimut mereka dirampas.
Menurut laporan BBC, yang bercakap dengan enam banduan Palestin selepas dibebaskan baru-baru ini, kesemua mereka mendakwa dipukul, dicabul dan didera sebelum dibebaskan dari penjara.
Persatuan Banduan Palestin berkata, beberapa pengawal didakwa kencing ke atas badan banduan yang digari manakala enam banduan didakwa maut dalam tahanan Israel sejak tujuh minggu lalu, namun tidak dilaporkan regim Zionis itu.
Mohammed Nazzal, 18, salah seorang banduan yang dibebaskan Israel minggu ini, ditahan di Penjara Nafha tanpa tuduhan sejak Ogos lalu dan sehingga kini tidak tahu kenapa dia ditangkap.
Katanya, 10 hari lalu, pengawal penjara Israel masuk ke dalam selnya dengan mikrofon dan pembesar suara serta cuba menggertak tahanan dengan bertepuk tangan dan menjerit nama mereka.
“Apabila mereka melihat kami tidak bertindak balas, mereka mula memukul kami. Mereka menyuruh kami berdiri, dengan banduan lebih berusia di belakang dan yang muda di hadapan.
“Mereka kemudian menarik saya dan mula memukul saya. Saya cuba melindungi kepala saya dan mereka cuba mematahkan kaki serta tangan saya pula,” katanya.
Mohammed juga mendakwa, tingkah laku pengawal penjara Israel berubah selepas serangan Hamas pada 7 Oktober.
Dia berkata, pengawal akan menendang mereka dan menggunakan kayu untuk memukul mereka lebih kerap, malah ada seorang pengawal memijak mukanya.
“Mereka masuk dengan anjing mereka dan membiarkannya menyerang kami, sebelum mereka memukul kami lagi. Jari kedua-dua belah tangan saya patah,” katanya sambil menunjukkan kecederaan di belakang dan bahunya.
Perkhidmatan Penjara Israel bagaimanapun mempertikaikan cerita Mohammed, malah mendakwa remaja itu sudah diperiksa oleh seorang doktor sebelum meninggalkan penjara, dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
Banduan Palestin lain juga menggambarkan perkara yang sama di dalam penjara Israel selepas serangan Hamas dan menganggapnya sebagai ‘balas dendam’ terhadap tahanan Palestin atas tindakan Hamas.
Ketua Persatuan Banduan Palestin, Abdullah al-Zaghary, berkata ramai banduan menyaksikan rakan dalam sel dipukul dengan ganas pada muka dan badan mereka.
Seorang lagi tahanan, Lama Khater, menerusi panggilan telefon, mendakwa banduan wanita – termasuk dirinya – kerap diancam akan dirogol di Penjara Damon dan gas pemedih mata dilontar ke dalam bilik tahanannya.
Israel bagaimanapun tidak menjawab soalan yang dikemukakan BBC, sebaliknya mengesahkan hanya empat banduan meninggal dunia pada empat tarikh berbeza sejak minggu lalu dan perkhidmatan penjara tidak mengetahui punca kematian.
Sementara itu, aktivis pro-Palestin, Ahed Tamimi, yang dibebaskan dari penjara Israel baru-baru ini, berkata tahanan wanita dilayan dengan buruk.
“Tiada tiada air atau makanan, ada 30 lagi banduan wanita yang ditahan, kami tidur atas lantai, ada yang tanpa pakaian dan kami didera setiap hari,” katanya. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE