Seorang aktivis politik bersujud di hadapan pintu kamar Mahkamah Sesyen Seremban sebaik dilepas dan dibebaskan daripada dakwaan melakukan amang seksual ke atas dua anak perempuannya pada 2018 dan 2019.
Hakim Datin Surita Budin memutuskannya selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang berusia 39 tahun itu.
“Mahkamah mendapati pendakwa gagal membuktikan satu kes prima facie bagi pertuduhan di bawah seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017 bagi kedua-dua kes.
“Oleh itu tertuduh dilepaskan dan dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil untuk membela diri bagi kedua-dua pertuduhan sebelum ini,” katanya.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap anak tiri yang berusia 16 tahun ketika itu, manakala anak kandungnya pula berumur enam tahun.
Kesalahan dilakukan antara tahun 2018 dan 2019 di sebuah rumah di Taman Nusa Intan, Senawang.
Terdahulu, tertuduh didakwa berdasarkan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO