Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mengalami kecederaan di mulut serta patah kaki kiri dipercayai akibat dicampak dari tingkat satu sebuah pangsapuri di Sungai Pinang di sini, oleh bapa saudaranya.
Adiknya yang juga bayi perempuan berusia 40 hari mengalami pendarahan di bahagian kepala selepas dipercayai dihempas ke lantai di kediaman berkenaan.
Dalam kejadian 3.40 petang itu, difahamkan, suspek berusia 29 tahun turut mengelar pergelangan tangan kanannya sebelum mencederakan kedua-dua mangsa.
Ahli keluarga yang mahu dikenali sebagai Taiyoob, 31, berkata, terdahulu, dia terdengar jeritan ibunya meminta tolong sebelum mendapati adik lelakinya berada dalam keadaan berbogel serta berlumuran darah.
Katanya, kejadian berkenaan berlaku dengan pantas dan dia turut mendapatkan bantuan jiran bagi menenangkan suspek.
“Ahli keluarga yang lain menyelamatkan kedua-dua anak kakak saya itu sebelum menghantar mereka ke hospital.
“Adik saya (suspek) turut mendakwa terdengar ‘bunyi bisikan’ sebelum mencederakan kedua-dua anak saudara,” katanya di sini, hari ini.
Difahamkan, bayi dan kanak-kanak itu berada di kediaman itu yang juga rumah nenek mereka, susulan ibunya masih dalam tempoh berpantang.
Menurut Taiyoob, pihaknya memohon orang ramai supaya tidak menularkan kejadian itu bagi menjaga privasi keluarga.
“Diharap, semua pihak faham keadaan dan hormati pendirian keluarga bagi tidak mengulas lanjut.
“Suspek adalah adik saya sendiri dan dia menerima rawatan tradisional kerana mempunyai masalah kesihatan sejak dua bulan lalu,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO