Mokhtar Mahmud, 57, bapa kepada Allahyarham Muhammad Nidza Afham berkata, ketika beliau melaungkan azan di jambatan tempat anaknya hilang, beliau masih berharap agar anaknya masih hidup.
Namun, harapan itu musnah apabila mayat anaknya ditemui di Sungai Klang, kira-kira dua kilometer dari jambatan tersebut.
“Saya reda dengan pemergian Am. Ketika azan, saya berharap dia ditemui selamat, tapi Allah lebih mengetahui,” ujar Mokhtar yang sebak.
Nidza Afham, anak kelima daripada tujuh beradik, digambarkan sebagai anak yang baik dan sentiasa membantu adik-beradiknya.
“Kali terakhir dia hubungi saya, dia mahu beri wang saku,” kenang Mokhtar.
Penemuan mayat itu disahkan oleh keluarga berdasarkan wajah dan pakaian.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong, berkata siasatan lanjut sedang dijalankan, dan pihaknya menunggu laporan bedah siasat.
Nidza Afham dilaporkan hilang selepas berjoging di Stadium Sultan Suleiman, Klang.
Dompetnya ditemui di atas jambatan dengan kad pengenalan dan kad pelajar masih ada, tetapi kad debit dan wang tunai hilang. – JURNAL
Sumber: Berita Harian