Klang dan Shah Alam dilaporkan terjejas akibat banjir kilat susulan hujan lebat sejak pagi tadi, menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air dan lalu lintas sesak.
Antara kawasan terjejas ialah Batu Belah dan Jalan Meru di Klang serta Seksyen 13 di Shah Alam. Keadaan ini turut memberi kesan kepada laluan utama dari Setia Alam ke Klang, terutama di sekitar Bandar Bukit Raja, yang dilaporkan sesak teruk akibat banjir.
Beberapa video yang dimuat naik di media sosial menunjukkan limpahan air yang menggenangi jalan-jalan utama, sehingga menyebabkan beberapa kenderaan terperangkap dalam banjir.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengeluarkan amaran hujan lebat dan angin kencang bagi kawasan sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang dijangka berlarutan sehingga pukul 1 tengah hari. – JURNAL