Beberapa kawasan di sekitar ibu negara dan Selangor dilanda banjir kilat serta kejadian tanah runtuh di Taman Melawati. Kejadian ini turut mengakibatkan beberapa kenderaan terkandas akibat tanah runtuh dan pokok tumbang, seperti dilaporkan oleh platform Bencana2024.
Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Parlimen menuju ke Bukit Aman, susur Jalan Duta, Jalan Sultan Abdul Halim, kampus Universiti Malaya, dan Wisma Central.
Di Taman Melawati, beberapa kenderaan dilaporkan terkandas berdekatan kawasan perumahan akibat tanah runtuh.
Menerusi hantaran di platform X, Smart Expressway memaklumkan, terowong SMART turut ditutup sepenuhnya untuk laluan pengguna bagi operasi banjir.
“Pengguna Terowong SMART dinasihatkan memandu dengan berhati-hati. Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan lalu lintas.”
Akibat situasi ini, Sidang Dewan Rakyat hari ini ditangguhkan selama 30 minit selepas ramai Ahli Parlimen terperangkap susulan beberapa laluan dinaiki air akibat hujan lebat.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memaklumkan persidangan akan disambung semula pada jam 10.30 pagi.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, turut berkongsi pengalamannya di Facebook.
“Keadaan lalu lintas di kawasan Parlimen amat sesak akibat banjir kilat. Hati-hati memandu, terutama penunggang motosikal, ramai terpaksa berteduh menunggu hujan reda.”
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menasihatkan pengguna jalan raya untuk memandu dengan cermat dalam keadaan hujan dan jalan yang licin.
“Jaga jarak selamat dan elakkan menukar lorong tanpa perlu,” kata DBKL dalam satu kenyataan. – JURNAL