Sekurang-kurangnya 16 kediaman di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Serkam dan Merlimau dilanda banjir kilat susulan hujan lebat awal pagi tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim, pihaknya masih mengenal pasti jumlah sebenar mangsa yang terjejas sehingga jam 8 pagi tadi.
“Hujan lebat bermula sekitar 1.30 pagi menyebabkan paras Sungai Merlimau di Kampung Kilang Berapi dan Sungai Lubuk Buaya naik mendadak dan melimpah ke kawasan rendah,” katanya.
Dari jumlah rumah terjejas, 10 berada di Kampung Kilang Berapi serta Lubuk Buaya di DUN Merlimau dan Serkam. Anggota APM kini sedang bertungkus-lumus membantu mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam rumah.
Tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di Sekolah Menengah Dang Anum, Sekolah Kebangsaan Tedong, dan Serkam Darat untuk menempatkan mangsa. Proses pendaftaran mangsa masih dijalankan.
Selain itu, banjir turut melanda Kampung Paya Redan di DUN Ayer Molek, melibatkan enam rumah. Bagaimanapun, tiada PPS dibuka di kawasan tersebut. – JURNAL
Sumber: Harian Metro