Bencana banjir kilat yang melanda beberapa daerah di Kedah sejak minggu lalu dipercayai berpunca daripada peralihan monsun yang bermula 24 September lalu.
Fenomena ini mencetuskan ribut petir dan angin kencang, terutama di kawasan pedalaman seperti Padang Terap dan Pokok Sena.
Menurut Pengarah Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd Aziz, lebih banyak kejadian banjir kilat dan angin kencang diramal sepanjang tempoh peralihan monsun ini, yang dijangka berlarutan sehingga awal November.
Keadaan cuaca di Pantai Barat, termasuk Kedah, dijangka akan membawa taburan hujan tinggi, terutama pada waktu lewat petang dan malam.
“Peralihan monsun di Pantai Barat berpotensi membawa banjir kilat dan ribut petir, seperti yang berlaku di beberapa daerah minggu lalu. Namun, ini bukan gelombang kedua banjir atau kesinambungan bencana dari bulan lalu. Ia tiada kaitan dengan gelombang kedua, seperti yang berlaku di Pantai Timur,” jelas Muhammad Khalil.
Walaupun situasi di Pantai Timur mungkin mengalami beberapa luluran gelombang sehingga enam hingga tujuh kali, Kedah dijangka tidak akan terkesan dengan keadaan tersebut.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa berjaga-jaga dengan perubahan cuaca, terutamanya sepanjang tempoh peralihan monsun ini.
“Sepanjang tempoh ini, kita akan menyaksikan hujan lebat dan ribut petir yang boleh mengakibatkan banjir kilat serta pokok tumbang. Oleh itu, sentiasa dapatkan maklumat terkini daripada sumber sahih dan rancang perjalanan jika perlu mengembara,” katanya.
Dalam pada itu, laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan bahawa tiga sungai di Kedah telah mencatatkan paras air melebihi tahap bahaya setakat jam 8 pagi tadi.
Sungai-sungai terbabit ialah Sungai Ketil di Kuala Pegang, Baling, dan Sungai Anak Bukit di dua lokasi, iaitu Taman Aman dan Jambatan TAR. – JURNAL
Sumber: Berita Harian