Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyatakan penghargaan kepada beberapa pemain yang akan meninggalkan skuad kebangsaan, mengiktiraf sumbangan dan dedikasi mereka terhadap negara.
BAM turut mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain-pemain ini menerusi laman Facebook rasminya.
Antara pemain yang diberi penghormatan ialah Chua Kim Sheng, Ong Zhen Yi, Kok Jing Hong, Jan Jireh Lee Zhi Ming (perseorangan lelaki), Siti Nurshuhaini Azman, Ung Yi Xing (perseorangan wanita), Rayner Beh Chun Meng, Choi Jian Sheng (beregu lelaki), Anna Cheong Ching Yik, Low Yeen Yuan (beregu wanita), serta Jeremy Juan Zhen Liang, Poopathi Velayutham dan Lai Ting Cen (beregu campuran).
Dalam pada itu, BAM juga mengumumkan 34 ahli pasukan senior kebangsaan bagi tahun 2025 selepas pemilihan melibatkan perbincangan antara Pengurusan BAM dan pasukan kejurulatihan, diketuai Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky.
Antara pemain yang terus dipilih ialah Ng Tze Yong dan Leong Jun Hao (perseorangan lelaki), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) serta pasangan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki).
Bagi skuad beregu wanita, Pearly Tan dan M Thinaah dikekalkan, sementara pemain lain akan ditentukan selepas penilaian lebih lanjut oleh ketua jurulatih baharu untuk sektor itu.
“Matlamat utama kami adalah membina skuad yang kuat dan kompetitif untuk menghadapi cabaran tahun depan,” menurut kenyataan yang dikongsi BAM. – JURNAL