Tuntutan harta sepencarian RM2 bilion yang difailkan balu Allahyarham Tan Sri Dr. Jamaludin Jarjis, Puan Sri Dr. Kalsom Ismail, terhadap empat anak dan ibu mentuanya gagal menemui penyelesaian di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.
Justeru dengan keputusan hari ini, kes tuntutan tersebut diteruskan dengan perbicaraan yang mana prosiding itu akan didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Shukor Abd. Hamid.
Terdahulu, dalam prosiding hari ini, peguam Syarie Nur Hidayah A. Bakar, yang mewakili ibu mentua Kalsom, Aminah Abdullah berkata pihak-pihak terlibat gagal mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes tersebut.
“Oleh itu, mahkamah memutuskan kes diteruskan dengan perbicaraan dan 9 Oktober ini ditetapkan untuk pengurusan kes bagi menetapkan tarikh bicara,” katanya ketika ditemui selepas prosiding yang dijalankan secara tertutup di hadapan Hakim Syarie itu.
Semasa prosiding Kalsom diwakili peguam syarie Datuk Sulaiman Abdullah.
Kalsom, 67, selaku plaintif memfailkan tuntutan harta sepencarian termasuk 20 hartanah di Malaysia, Makkah serta beberapa buah syarikat pada Oktober 2018, dengan menamakan anaknya, Ikwan Hafiz, Nur Anis, Nurul Alyaa, Noor Adilla dan ibu mentuanya Aminah sebagai defendan.
Pada 28 Ogos tahun lalu, mahkamah itu membenarkan permohonan Kalsom untuk meminda pernyataan tuntutan, antaranya membabitkan perkataan hartanah di Boston, Amerika Syarikat dibuang dalam pernyataan tuntutan.
Selain itu, saham dalam syarikat Rantai Wawasan, isu sumbangan tidak langsung berkaitan penjagaan Jamaludin semasa sakit kaki dan isu berkaitan tanah di Gombak dimasukkan dalam pernyataan tuntutan yang dipinda.
Pada 4 April 2015, Jamaludin, yang juga bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, ketika itu berusia 64 tahun, bersama lima lagi maut apabila helikopter yang mereka naiki dari Pekan, Pahang ke Kuala Lumpur terhempas di kawasan kebun getah di Kampung Sungai Pening, Semenyih pada pukul 4.55 petang.
Turut maut juruterbangnya Kapten Clifford William Fournier, Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Seri Azlin Alias, ahli perniagaan Datuk Tan Huat Seang, pegawai peribadi Jamaludin, Razakan Seran serta seorang wanita yang dikenali sebagai Aidana Baizieva. –JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE