Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengumumkan berehat sebentar daripada arena politik dan mahu membuat perancangan baharu.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu menerusi ciapan di laman Twitter miliknya, berkata beliau akan terus bertekad untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara.
“Kepada semua rakyat Malaysia, ini adalah rehat seketika dalam kerjaya saya untuk berkhidmat kepada rakyat bagi memikirkan perancangan baharu.
“Namun begitu, tekad saya untuk berkhidmat kepada negara dan rakyat tidak akan putus,” katanya.
Sebelum ini, PN tidak menolak kemungkinan mencalonkan Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor sekiranya menang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang perlu diadakan sebelum Jun tahun ini.
Timbalan Pengarah Jentera Pilihan Raya PN Selangor, Kapten (B) Datuk Dr Zulkafperi Hanafi, berkata peluang sentiasa terbuka kepada bekas Menteri Besar Selangor itu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa untuk kembali memimpin negeri ini.
Dr Zulkafperi berkata, PN juga yakin ke arah itu berdasarkan pengalaman Mohamed Azmin yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor dari 2014 hingga 2018 dan ADUN Bukit Antarabangsa sejak 2008. – JURNAL