Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, telah menyatakan kesediaannya untuk bersara daripada karier sebagai pelumba, dan menamatkan pengajian menjadi antara perkara utama dalam ‘checklist’ selepas ini.
Azizulhasni masih mempunyai setahun lagi untuk menamatkan pengajian dalam Ijazah Clinical Exercise Science di Universiti Deakin Melbourne, Australia.
“Sudah tentu, itu adalah perancangan saya… untuk menamatkan pengajian setahun lagi. Namun, saya belum pasti bila, tapi itu adalah antara rancangan saya,” ujar Azizulhasni, yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’.
Sebelum ini, Azizulhasni, terpaksa berdepan kekecewaan apabila tidak dapat meneruskan saingan dalam acara keirin di Paris 2024 setelah penyertaannya dibatalkan kerana memotong pacer dalam ‘heat’ pertama pusingan awal.
Keputusan itu mengejutkan ramai pihak, termasuk dirinya, yang mengharapkan untuk membawa pulang pingat emas pada penampilan terakhirnya di Sukan Olimpik.
Selain menamatkan pengajiannya yang tertangguh, Azizulhasni juga menyatakan kesediaannya untuk membantu barisan atlet muda negara.
“Setakat ini, saya belum ada pelan lengkap… banyak perancangan sedang difikirkan, tetapi buat masa ini saya mahu berehat dahulu, meluangkan masa dengan keluarga. Apabila pulang ke Malaysia, saya akan duduk berbincang semula,” katanya.
Azizulhasni menambah, walaupun bersara, cintanya terhadap sukan kekal utuh, dan dia ingin membalas jasa Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah banyak membantu dalam kariernya.
“Saya rasa ini masa yang sesuai untuk memberi kembali,” ujarnya yang pernah meraih perak di Tokyo 2020 dan gangsa di Rio 2016.
Dalam pengumuman yang dibuat ketika ditemubual oleh Astro Arena di Velodrom Saint Quentin en Yveline, Paris, Azizulhasni turut menyeru seluruh peminat sukan tanah air untuk terus menyokong pelumba berbasikal trek negara seperti Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan beberapa pelumba lain selepas ini. – JURNAL
Sumber: Berita Harian