Pihak pengurusan Awesome TV menafikan dengan sengaja memfitnah kerajaan dengan laporan berita yang disiarkan pada 15 Februari lalu, sebaliknya kandungannya telah disalah tafsir.
Awesome TV menerusi sebuah kenyataan berkata, kandungan berita yang mengesyorkan penjawat awam dikurangkan itu diambil daripada laporan portal The Edge Markets bertajuk, “Reducing Government Opex Warrants a Look Into
Emoluments”.
“Sesiapa yang tonton slot tersebut pada 15 Februari lalu akan tahu laporan kami memetik dari sumber penganalisis luar sebagai memberi saranan secara bebas sahaja,” katanya sebagai merujuk laporan disiarkan Berita 7:57 pada minggu lalu itu yang disalah tafsir dalam kalangan warganet konon ia cadangan Kerajaan Perpaduan.
Laporan klip berdurasi 2 minit 36 saat mengenai syor pengurangan penjawat awam itu malahan tular dikongsi ramai netizen sehingga mencetuskan kebimbangan masyarakat.
Sementara itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan membuka satu kertas siasatan terhadap saluran televisyen swasta Awesome TV, susulan laporan mendakwa bilangan penjawat awam bakal dikurangkan.
MCMC dalam satu kenyataan, berkata siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 206 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998, iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.
Susulan aduan diterima berhubung laporan itu, menurutnya, pihak suruhanjaya berkenaan sudah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Awesome TV, semalam.
“Apabila kertas siasatan itu lengkap, ia akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya.
Jika sabit kesalahan, menurutnya, boleh dihukum seperti yang diperuntukkan bawah Seksyen 242 akta berkenaan, iaitu denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
MCMC menekankan, pihaknya memandang serius aduan pengguna mendakwa saluran berita swasta menyebarkan laporan yang mendatangkan kebimbangan penjawat awam.
Awesome TV merupakan stesen televisyen percuma dimiliki oleh Awesome Media Network Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Kuala Lumpur dan sudah bersiaran sejak 2020 lepas.
Slot Berita 7:57 mula ke udara pada 1 Februari tahun lalu sebagai pilihan kepada para penonton stesen itu yang mahu kelainan kandungan laporan perkembangan semasa tanah air. – JURNAL